utama

Skandal RM1.5b: Reman Mohd Shafie sah [METROTV]

Oleh Fardy Bungga

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan peguam Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menyemak semula tahanan reman terhadap Ahli Parlimen Semporna itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Ismail Brahim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah barisan peguam Mohd Shafie dan pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berlangsung lebih sejam bermula jam 11.30 pagi tadi.

Dalam permohonan itu, bekas anggota Kabinet itu yang diwakili peguam Martin Tommy, Hamid Ismail, Cedric Choo dan Loretto Padua Jr membuat permohonan semakan mempertikaikan penahanan reman itu sebagai tidak sah dan melanggar kebebasannya.

Peguam bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu Hamid Ismail menegaskan, SPRM tidak boleh menggunakan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah atas alasan untuk melengkapkan siasatan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwaan SPRM Rustam Sanip membalas hujah dengan menyatakan suruhanjaya terbabit mempunyai bidang kuasa yang sama dengan polis untuk menahan reman Orang Yang Disyaki (OYDS).

Mohd Shafie ditahan reman selama empat hari mulai Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi KKLW.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 3:05pm
d