utama

Skandal RM1.5b: Reman Mohd Shafie disambung

Oleh Fardy Bungga

TAHANAN reman Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disambung empat hari bermula esok sehingga Jumaat ini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membuat keputusan itu selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tahanan reman terhadap bekas menteri yang berakhir hari ini.

Terdahulu, pagi tadi, Mohd Shafie hadir di Mahkamah Tinggi, di sini, untuk prosiding permohonan semakan semula peguamnya berhubung perintah tahanan reman Mahkamah Majistret pada Jumaat lalu namun permohonan itu ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Ismail Brahim.

Mohd Shafie diwakili peguam Loretto J Padua,Martin Tommy, Cedric Choo, Hamid Ismail dan Zakaria Ismail.

Manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwaan Mohd Faliq Basiruddin dan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip serta Rozanah Abdul Hadi.

Sementara itu, di luar pekarangan mahkamah, kira-kira 300 penyokong Warisan termasuk dua Naib Presiden parti itu, Datuk Peter Anthony dan Junz Wong serta Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berhimpun sejak pagi untuk memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Semporna itu.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 3:57pm
d