utama

Hati-hati pilih kawan

Oleh HM Digital

Minggu lalu, kecoh isu membabitkan seorang wanita bernama Mona Syamimi Mohd Samsudin atau lebih dikenali sebagai Mimi yang didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Shahir AF8.

Lebih panas, nama penyanyi Syamel turut terkait sama dalam perbualan membabitkan Shahir dan Mimi seperti yang didedahkan wanita itu menerusi temu bual bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Mengakui mengenali wanita itu apabila pernah bertemu bersama rakan-rakan, Syamel menjelaskan dia tidak mahu masuk campur isu membabitkan Shahir dan Mimi.

Kata Syamel, dia akui tidak selesa apabila namanya turut terpalit namun menganggapnya sekadar kebetulan.

“Apabila isu terbabit turut mengheret nama saya, jujur ia tidak sedap didengar. Namun saya anggap ia hanya kebetulan.

“Saya tidak perlukan gosip sebegini untuk menaikkan nama dalam industri seni. Setakat ini, saya masih mampu menghasilkan karya yang baik supaya peminat boleh melihat perkembangan saya dalam industri.

“Seperti kata ibu, apa yang berlaku ini anggap saja sebagai virus yang akan berlalu pergi. Saya tidak mahu ambil pusing namun saya simpati dengan apa yang berlaku,” katanya.

Tambah Syamel, barangkali disebabkan tidak pernah memilih kawan membuatkan namanya turut terkait sama.

“Saya mudah percayakan orang dan suka berkawan. Namun saya tidak tahu sejauh mana keikhlasan mereka. Jadi selepas ini saya akan mengehadkan pergaulan supaya lebih berjaga-jaga dan menjaga nama baik diri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Syamel memberitahu dia bakal ke Chengdu, China pada 29 Oktober ini sempena pertandingan Festival Abu TV Song 2017.

“Alhamdulillah saya terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan itu yang bakal berlangsung pada 1 November ini. Saya akan bersaing dengan 13 artis terbaik dari 13 negara. Saya akan nyanyikan lagu Lebih Sempurna dan akan belajar cakap Cina untuk menarik perhatian orang ramai di negara itu.

“Doakan semoga perjalanan saya di sana dipermudahkan. Selepas AF Megastar, pertandingan ini antara pencapaian terbesar saya sepanjang mencanai bakat sebagai penyanyi. Saya berharap kehadiran saya nanti dapat mengharumkan nama Malaysia seperti Yuna dan Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Menurut Syamel, usai pertandingan itu tamat, dia mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk Semi Final Muzik Muzik.

“Lagu Lebih Sempurna berjaya masuk ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32. Jadi, saya kena buat yang terbaik agar lagu ini berjaya mara ke final Muzik Muzik 32,” katanya.

Tambah Syamel, selepas AF Megstar dia akan ‘berhenti’ menyertai pertandingan nyanyian bagi memberi fokus terhadap kerjaya nyanyiannya.

“Saya ambil setiap nasihat yang diberikan Datuk Ramly MS yang mengatakan saya tidak perlu menyertai pertandingan nyanyian. Daripada kata-kata beliau itu, saya faham maksudnya iaitu saya perlu fokus untuk merencanakan kerjaya dengan lebih baik.

“Saya perlu percaya dengan bakat yang dimiliki. Insya-Allah saya akan buat terbaik dan menghasilkan karya yang melekat di jiwa,” katanya. - Najiy Jefri

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 4:16am
d