utama

Hilang rakan karib sekelip mata

Oleh Saipul Adli Mohamad

“BIASANYA arwah duduk di sebelah kanan belakang pemandu bas. Tetapi pagi ini dia duduk sebelah kiri dan tersepit akibat kemalangan," kata mangsa terselamat dalam tragedi mengorbankan lapan pekerja kilang di Kilometer 147, Lebuhraya Utara Selatan hala utara berhampiran Plaza Tol Juru, pagi ini.

Nor Shakirah Ishak, 40, berkata, arwah Noriah Kasa, 40, adalah rakan sekolahnya dan hubungan mereka rapat.

Dia berkata, kemalangan berlaku kira-kira 6 pagi ketika bas dinaikinya dalam perjalanan dari Parit Buntar menuju ke Kilang Plexus di Bayan Lepas.

"Saya sepatutnya masuk kerja 7 pagi tadi dan bas kami tidak laju ketika membawa kira-kira 15 penumpang ketika itu.

"Pekerja yang menaiki bas ini tinggal sekitar Parit Buntar, Tambun dan Nibong Tebal .Sudah tujuh tahun saya menggunakan pengangkutan bas disediakan.

"Ketika kejadian saya sedang tidur dan terkejut sebaik berlaku hentaman kuat. Saya terkejut dan pening sebelum segera turun melalui pintu belakang bas," katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya.

Nor Shakirah berkata, bas dinaikinya merempuh belakang bas kilang membawa pekerja kilang Sony yang dipercayai berhenti di tepi jalan kerana mengalami kerosakan.

Sebaik turun, dia melihat penumpang bas depan bergelimpangan termasuk ada yang meninggal dunia akibat cedera.

Menurutnya, hanya seorang penumpang yang meninggal dunia di dalam bas dinaikinya iaitu Noriah yang tersepit di tempat duduk.

"Saya bernasib baik hanya cedera ringan di mata kiri dan kaki," katanya.

Berita berkaitan:

4 pekerja maut di lokasi, 30 cedera

Berita berkaitan:

Lapan pekerja kilang terbunuh

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 10:21am
d