utama

'Rupanya anak saudara saya'

Oleh Junaidi Ladjana

“SEORANG daripada mangsa yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah meminta saya menolong rakannya yang lain. Tanpa berlengah, saya ke belakang kereta dan terkejut apabila seorang daripada mereka adalah anak saudara saya.

"Saya pegang dadanya dan dapati dia masih bernafas tetapi keadaanya amat teruk," kata Mipin Bahood, 57, bapa saudara Evi Elsie Jukirim, 18.

Evi antara empat pelajar perempuan sekolah menengah yang meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki terbabas di Jalan Kanibongan, Pitas, dekat Kota Marudu, pagi hari ini.

Pada kejadian 6.30 pagi itu, tiga lagi mangsa yang meninggal dunia adalah Rebecca Stacey Saimon, 16, Dayang Munisah Eyon, 18 dan Sweeta Kongkoyan, 18.

Seorang pelajar lelaki, Mikhievinlee Lotijin, 18, parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut manakala, empat lagi pelajar lelaki lain cedera.

Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa adalah pelajar yang tinggal di asrama dan dalam perjalanan ke SMK Pitas 2.

Mipin berkata, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan menghantar anaknya ke SMK Kanibongan.

"Ketika dalam perjalanan ke Kota Marudu, saya lihat ada kereta terbabas ke tepi jalan lalu bergegas ke kereta berkenaan dan melihat tiga penumpang bergelimpangan di tepi kereta.

"Pada masa sama, saya terdengar suara seorang mangsa, 'Tuan, tolong bantu rakan-rakan saya'. Ketika itu, baru saya menyedari seorang mangsa adalah anak saudara saya yang berada di belakang kereta berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri," katanya.

Menurutnya, dia cuba membantu mengangkat anak saudaranya, sebelum dimaklumkan ambulans dalam perjalanan ke lokasi.

"Saya menangis melihat Evi kerana keadaannya amat parah. Sebaik tiba di hospital, saya dimaklumkan Evi sudah meninggal dunia.

"Kali terakhir saya melihatnya minggu lalu ketika dalam perjalanan ke

gereja," katanya

Ibu bapa Evi yang turut berada di perkarangan Unit Forensik Hospital Pitas enggan ditemubual kerana masih bersedih berkenaan kejadian yang menimpa anaknya.

Berita berkaitan:

Tragedi pilu 6.30 pagi

Empat pelajar `dijemput' ajal

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 7:43pm
d