utama

Selami karya dari Peterpan ke Noah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kali terakhir band popular Indonesia Noah menghiburkan peminat mereka di Malaysia adalah pada 2012 dan ketika itu masih dikenali sebagai Peterpan.

Selepas lima tahun, band yang dianggotai Ariel selaku vokalis dan gitaris, Uki (gitaris), Lukman (gitaris) dan David (pemain keyboard) itu kembali lagi ke sini dan bakal menggegarkan lokasi sama iaitu Stadium Negara menerusi Konsert Noah Live in Kuala Lumpur.

“Kehadiran kali ini adalah untuk mengubati kerinduan peminat, sekali gus membawa mereka menyelami karya kami sejak bergelar Peterpan sehingga ke hari ini,” kata David mewakili rakan.

Ditanya mengenai kekuatan Noah di Indonesia selepas menukar nama band, David berkatanya situasinya berbeza berbanding di Malaysia.

“Di sana, semua peminat sudah sedia tahu dan menerima dengan terbuka kemunculan Noah selepas kami menukar nama.

“Di Malaysia, situasinya mungkin sedikit berbeza. Ada peminat yang sehingga kini masih tertanya-tanya dan antara persoalan mereka adalah adakah Noah masih mengekalkan anggota asal Peterpan?

“Ramai juga peminat Malaysia yang masih mengaitkan Noah dengan Peterpan. Tidak menjadi masalah buat kami kerana di konsert itu nanti, kami akan tetap mempersembahkan beberapa lagu lama kami yang popular,” katanya lagi.

Ditanya mengenai konsep konsert yang bakal berlangsung pada 25 November itu, Noah akan menyajikan beberapa lagu popular mereka daripada album terbaru.

“Kali terakhir kami hadir dengan album adalah pada 2015. Tentunya kami akan turut mempersembahkan lagu daripada album berkenaan dan secara keseluruhan akan ada 16 lagu sepanjang 90 minit konsert berlangsung.

“Selain itu, sebagai hadiah kepada peminat kami akan sampaikan sebahagian daripada lagu baru. Album baru akan dilancarkan menjelang tahun depan,” kata Ariel.

Pertama kali muncul untuk konsert berskala besar selepas insiden membabitkan Ariel dan beberapa video skandal seks yang tular beberapa tahun lalu, Noah tidak menafikan masih ada stigma masyarakat yang tidak dapat diubah.

“Memang apa yang berlaku sedikit-sebanyak memberikan persepsi kurang selesa terhadap kami. Tapi, apa yang berlaku bergantung kepada waktu.

“Di mana kita berhenti, di situlah orang akan ingat. Jadi, selalu lakukan sesuatu yang baru, hasilkan muzik baru, lagu baru dan berusaha menjadi lebih bagus.

“Itu adalah satu cara untuk membuatkan orang lupa insiden itu,” kata Ariel.

Tambah Ariel, dia dan semua anggota Noah menghargai peluang yang diberikan peminat, sekali gus memberikan mereka ruang semula untuk berkarya.

“Perubahan berlaku secara dua arah. Saya bersyukur dengan adanya teman-teman, pengurusan, peminat dan masyarakat yang mahu menerima perubahan serta memaafkan,” katanya lagi.

Berbalik kepada konsert, tiket sudah mula dijual sejak 9 Oktober lalu dengan harga serendah RM95 sehingga RM235.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 3:03am
d