utama

Wendy sah ambil sibutramine

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tanda tanya mengenai siapakah atlet negara yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu, terjawab apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan atlet berkenaan adalah Wendy Ng Yan Yee.

Wendy disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu turut positif.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan ketika ditemui bagaimanapun menegaskan konflik yang berlaku itu tidak mengganggu kelancaran penganjuran Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur yang bermula hari ini.

“Keputusan itu kami terima pagi tadi dan atlet yang terbabit adalah Wendy.

“Saya sudah berbincang dengan Exco ASUM dan satu sidang media akan diadakan dalam tempoh terdekat ini untuk memaklumkan tindakan selanjutnya.

“Hingga itu, saya tidak boleh memberi sebarang komen lanjut,” katanya.

Mae turut memaklumkan keputusan ujian berkenaan juga akan dihantar kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan hukuman akan ditentukan selepas sesi pendengaran diadakan.

Dalam perkembangan sama, Mae berkata, hingga hari ini beliau masih lagi belum menghubungi Wendy dan tiada sebarang maklum balas diterima daripada atlet itu.

Pada temasya KL2017 yang lalu, Wendy berjaya meraih dua emas iaitu dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri.

Sementara itu, emas yang diraih Wendy di KL2017 berkemungkinan besar akan ditarik semula tetapi ia hanya akan dilakukan selepas semua proses selesai.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata, terdapat beberapa peringkat lagi yang perlu dilalui selepas keputusan sampel B diperoleh.

Antaranya atlet diberi peluang untuk membuat permohonan pendengaran kes atau mengakui kesalahan dan menerima hukuman.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan kedudukan emas dimenangi yang Wendy hanya akan diputuskan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) selepas sesi pendengaran selesai.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 3:22pm
d