utama

'Saya masih seorang penyanyi'

Oleh HM Digital

Pada mulanya dia hampir tidak mahu menyertai AF Megastar, namun Marsha berjaya membuktikan bakatnya apabila layak sebagai finalis program itu.

Marsha, 32, atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh menyertai AF Megastar demi kerjaya nyanyiannya.

Marsha juga gembira apabila misinya untuk membuka mata peminat bahawa dia penyanyi yang serius berjaya.

Penyanyi lagu Hilang ini mengakui hanya itu yang dia impikan menerusi penyertaannya selain mencabar diri menjadi penghibur serba boleh.

“Pada mulanya saya tiada niat mahu bertanding terutama apabila banyak kata-kata sinis dilemparkan.Namun, saya gunakannya sebagai taktik untuk membuka mata ramai bahawa saya masih menyanyi.

“Mungkin ramai yang terlupa saya masih seorang penyanyi. Saya bersyukur kerana menerusi program itu mereka akhirnya membuka mata. Sebenarnya memang selama ini saya serius sebagai penyanyi dan ramai akhirnya melihat perkara itu di pentas AF Megastar,” katanya.

Walaupun saingan cukup sengit, nama Marsha sememangnya menjadi sebutan ramai dan diletakkan sebagai calon juara.

Persembahan mingguannya sentiasa mendapat markah tinggi daripada juri.

Namun lebih istimewa, pelakon dan pengacara itu berjaya memenangi hati ramai. Itulah antara perkara yang dia tidak pernah sangka akan berlaku kepada dirinya.

“Saya tidak kisah langsung mengenai kalah atau menang. Saya cuma mahu tampil dengan persembahan yang sentiasa berbeza dan paling penting ikhlas.

“Bagi saya, kemenangan sebenar adalah berjaya menambat hati penonton dan memang itulah niat asal saya. Paling penting juga, dengan kemenangan sebegitu pasti membawa saya lebih jauh,” katanya.

Bukan menidakkan penyokongnya, Marsha juga terharu apabila sebenarnya mempunyai ramai pengikut yang benar-benar menyokong karier muziknya.

“Selama ini memang ramai yang sentiasa komen di media sosial. Jadi saya anggap ia perkara biasa untuk seseorang selebriti apabila peminat mahu mengikuti perkembangan saya semata-mata.

“Apabila melihat mereka sanggup datang dan dapat bertemu mereka secara depan-depan, ia satu kepuasan yang tidak terhingga. Rupa-rupanya saya ada penyokong begitu,” katanya.

Tiada penyesalan mahupun rungutan, Marsha sebaliknya bertuah kerana terlalu banyak ilmu ditimbanya dalam program itu.

Menurutnya, paling penting adalah AF Megastar membentuk dirinya menjadi penghibur lebih hebat.

“Setiap minggu, saya ada pasukan yang sangat hebat untuk mencorakkan persembahan. Daripada penataan gaya hinggalah susunan muzik, saya sangat bertuah dikurniakan insan yang berilmu.

“Kalau bukan kerana mereka, persembahan saya tidak mungkin akan seperti yang penonton lihat. Saya pasti akan menggunakan khidmat mereka lagi selepas ini walaupun program itu sudah tamat,” katanya. -Georgie Joseph

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 3:08am
d