utama

Dua abang tiri durjana ditahan

Oleh Safuri Kamarudin

DUA adik beradik berusia 15 dan 13 tahun ditahan polis di rumah mereka di sebuah kampung di Kuala Ketil, Kedah selepas dipercayai merogol adik tiri mereka sehingga melahirkan bayi lelaki, semalam.

Mangsa berusia 13 tahun mengadu kepada ibu tirinya (pengadu), dia sakit perut sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan.

Menurut ibunya, mangsa mengadu sakit perut lalu dibawa ke hospital kira-kira 3.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata, siasatan awal ibu tiri mangsa berusia 45 tahun tidak mengetahui anak tirinya mengandung kerana tidak nampak perubahan dan tidak pernah dimaklumkan apa yang berlaku.

Beliau berkata, selepas membawa mangsa menjalani pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengandung dan sejurus itu mangsa melahirkan bayi lelaki.

Shariffuddin berkata, mangsa yang tinggal Kuala Ketil dipercayai dirogol oleh dua abang tirinya lebih daripada 30 kali setiap seorang.

“ Mangsa dipercayai dirogol lebih 30 kali oleh abang tirinya sejak pertengahan 2015 sehingga  Disember 2016.

“ Mereka melakukan perkara itu ketika ibu bapa tidak ada di rumah," katanya.

Shariffuddin berkata, ekoran kejadian itu polis membuat tangkapan kedua-dua suspek di rumah mereka kira-kira 12 tengah hari semalam.

“ Kita menahan reman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari bermula semalam hingga 2 November depan.

“ Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 10:29am
d