utama

Najib umum peruntukan sukan RM1 bilion

Oleh Meja Sukan NSTP

DATUK Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 bilion menerusi Bajet 2018 bagi mengekalkan momentum dalam usaha menjadikan Malaysia selaku gergasi sukan dunia.

Perdana Menteri menjelaskan peruntukan itu adalah bagi melaksanakan inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

“Kerajaan turut mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baru di seluruh negara yang membabitkan kos bernilai RM112 juta.

“Dalam masa sama, kerajaan turut berbesar hati untuk mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Sebagai rekod, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 billion dalam Bajet 2017 dengan ia meliputi RM450 juta khusus bagi penganjuran Sukan SEA 2017 (Ogos) dan Sukan Para ASEAN 2017 (September).

Selain itu, beberapa program pembangunan sukan turut dilaksanakan antaranya bajet bernilai RM50 juta bagi pembinaan Akademi Bola Sepak Fasa II di Gambang, Pahang dan juga RM122 juta bagi membina dan menaik taraf fasiliti sukan termasuk kompleks belia dan sukan negeri, kompleks Futsal 1Malaysia dan Kompleks Sukan Komuniti.

Pada masa sama, kerajaan turut memperuntukkan RM70 juta bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke temasya sukan antarabangsa serta RM54 juta bagi Program Pembangunan Ahli Sukan termasuk Program Penyediaan Atlet dan Program Penyediaan Atlet Paralimpik.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 5:11pm
d