utama

NFDP sambut baik Bajet 2018

Oleh Sukhairi Thani

PEMBENTANGAN Bajet 2018 yang turut membabitkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bakal menaikkan lagi semangat dan komitmen kem akar umbi berkenaan untuk terus mencungkil dan memperkukuhkan lagi bakat sedia ada bagi sukan nombor satu negara itu.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM1 bilion yang selain NFDP, ia turut merangkumi aspek program akar umbi, latihan atlet, Hari Sukan Negara (HSN) dan FitMalaysia dalam usaha mengekalkan momentum bidang sukan dalam menuju matlamat menjadi negara kuasa sukan.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menaikkan mutu bola sepak negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NFDP Safirul Azli Abu Bakar ketika dihubungi hari ini.

“Program ini tidak boleh dikecap dalam masa terdekat dan memerlukan tempoh masa yang agak panjang.

“Jadi dengan komitmen diberikan ini, ia menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha memajukan bola sepak negara.

NFDP yang dilancarkan pada April 2014 sebuah program pembangunan belia merangkumi umur dari 7 hingga 17 tahun.

Program itu diasaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan diumumkan sebagai agenda utama oleh Perdana Menteri.

“Buat masa ini, kami mempunyai lebih 22,000 pelatih dari seluruh negara dan peruntukan ini pastinya dapat menaikkan lagi semangat kami untuk terus berusaha lebih gigih bagi mencapai apa yang diinginkan,” kata Safirul.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 6:20pm
d