utama

'Kerajaan amat mementingkan program akar umbi'

Oleh Ferzalfie Fauzi

TIMBALAN Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengalu-alukan komitmen tinggi kerajaan yang memperuntukkan RM1 bilion bagi Program FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini.

Menurutnya, pengkhususan bajet kali ini juga menggalakkan rakyat untuk membudayakan sukan dan menjadikan aktiviti berkenaan sebagai gaya hidup.

“Program berbentuk akar umbi dan pembinaan dewan sukan di seluruh negara juga akan memberi manfaat kepada masyarakat di luar negara. Sebelum ini fasiliti sukan hanya terdapat di kawasan bandar saja sekarang masyarakat luar bandar juga mempunyai peluang untuk mengamalkan budaya sihat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui kerajaan juga amat mementingkan program akar umbi bukan saja bagi sukan teras seperti bola sepak dan badminton.

“Bagi saya peruntukan program akar umbi yang dinyatakan dalam ucapan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan saja kepda sukan teras tapi dibahagikan juga kepada sukan lain seperti petanque, ragbi dan beberapa lagi yang bukannya menjadi acara pilihan kita.

“Di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini kita dapat lihat sendiri pencapaian sukan bukan teras. Jadi sukan seperti ini harus diberi tumpuan dari peringkat akar umbi lagi,” kata Norza.

Ujarnya, jika program akar umbi dikembangkan lebih ramai rakyat akan berminat dengan sukan bukan teras di Malaysia.

Pembentangan Bajet 2018 juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baru di seluruh negara dengan kos RM112 dan sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), untuk menambah baik serta dinaik taraf sebagai sekolah sukan premier.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 7:03pm
d