utama

Bajet 2018 ransang MSN

Oleh Sukhairi Thani

SUNTIKAN lebih RM1 bilion diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk sukan tanah air jelas memberi rangsangan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melahirkan atlet yang mampu mencetus kejayaan di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman pembentangan Bajet 2018 hari ini sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sukan tanah air.

“Pengumuman kerajaan sebanyak RM1 bilion yang merangkumi program pembangunan sukan prestasi tinggi turut memberi rangsangan kepada kami untuk terus melahirkan atlet yang boleh memberikan kejayaan di peringkat antarabangsa demi meningkatkan imej negara dalam bidang sukan,” kata Shapawi.

Hari ini, Najib dalam pembentangan Bajet 2018 mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk terus melaksanakan inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebagai negara kuasa sukan yang meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara (HSN), latihan atlet, program akar umbi dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM112 juta bagi membina 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara dan RM20 juta kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier.

“Pengumuman yang turut membentangkan mengenai pertambahan kompleks sukan yang baharu turut disambut baik oleh komuniti sukan khususnya memberi peluang atlet di peringkat akar umbi untuk menggunakan kompleks sukan ini sebagai tempat latihan.

“Ini juga jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan sukan dalam pembangunan negara dan kami, komuniti sukan sememangnya amat menghargai keprihatinan kerajaan,” kata Shapawi yang turut menghargai pengiktirafan kerajaan terhadap kejayaan kontinjen negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur dan Para ASEAN 2017 (KL2017), baru-baru ini.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 7:40pm
d