utama

Tiga tikaman [METROTV]

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

“SAYA difahamkan kejadian berlaku dengan pantas dan Datuk tak sempat mengelak menyebabkan dia terkena tiga tikaman di bahu dan belakang telinga kanan,” kata Datin Ruby Arshad, 48 isteri kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan.

Datin Ruby berkata, dalam serangan itu, saudara Sohaimi turut cedera di muka ketika cuba menepis tikaman lelaki yang dipercayai sakit mental.

Katanya, petang sebelum kejadian, lelaki itu membaling batu ke arah saudara Sohaimi hingga cedera di tangan ketika dia berbual dengan pemandu di halaman rumah di Taman Desa Moccis, Sungai Buloh.

“Kira-kira 8.30 malam, apabila Datuk pulang ke rumah, dia bersama dua saudara dan pemandu pergi ke rumah suspek untuk berjumpa keluarga untuk memaklumkan kejadian yang berlaku.

“Bagaimanapun, ketika ibu suspek membuka pintu, suspek meluru dari belakang, memegang pisau dan terus menyerang Datuk,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar KPJ Damansara.

Ruby berkata, suaminya yang dalam keadaan berlumuran darah pulang ke rumah dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan.

Katanya, ketika ini suaminyamasih dalam rawatan.

“Polis ada datang ke rumah untuk menjalankan siasatan dan dikatakan suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, suspek berusia 27 tahun sudah ditahan.

Katanya, suspek dipercayai mempunyai masalah mental atau kurang siuman.

“Siasatan awal polis tiada motif lain. Kes disiasat Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan:

Ditikam di depan rumah

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 12:58am
d