utama

'Menitis air mata'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

“SAYA terkejut dan menitis air mata apabila mengetahui punca nahas pesawat Hawk 108 M40-02 terhempas akibat masalah teknikal sehingga mengorbankan suami saya dan rakannya pada Jun lalu," kata Asysyuhadak Ahmad, 30, balu kepada Mejar Mohd Hasri Zahari.

Asysyuhadak berkata, dia hanya mengetahui perkara itu sebaik dihubungi media dan membaca laporan terbabit di akhbar, hari ini.

Katanya, setakat ini keluarganya belum dimaklumkan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysa (TUDM) mengenai laporan siasatan punca nahas berkenaan.

"Saya sangat sedih apabila mengetahui punca nahas pesawat itu. Saya masih terkesan dengan kehilangan arwah suami yang baru empat bulan meninggalkan kami sekeluarga.

"Bagaimanapun, saya lega kerana punca nahas disebabkan masalah teknikal bukan kerana kecuaian arwah suami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berkongsi kehidupan terbaru, Asysyuhadak memberitahu dia dan anak perempuannya Nur Hafiya yang kini berusia 10 bulan menetap di rumah keluarga di Alor Setar, Kedah.

"Anak saya kini sudah pandai merangkak. Saya sering menunjukkan gambar arwah bapanya dan dia sudah mengenali wajah itu. Saya pula akan mula bekerja dengan syarikat pembinaan di Alor Setar, minggu depan," katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Zahari Md Din, 65, yang tinggal di FELDA Lui Muda, Jempol, turut bersyukur dengan keputusan siasatan berkenaan.

Katanya, dia dan keluarga sudah reda dengan apa yang berlaku dan tidak mahu membesarkan perkara itu lagi.

Semalam, Harian Metro melaporkan, TUDM mengesahkan masalah teknikal pada bahagian rangka sawat menjadi punca nahas pesawat Hawk 108 M40-02 terhempas dan mengorbankan dua juruterbang pada 15 Jun lalu.

Panglimanya Tan Sri Affendi Buang berkata, berdasarkan siasatan dilakukan pasukan khas ditubuhkan berjaya mengenal pasti punca nahas berkenaan dan kini pasukan itu sedang merangka beberapa pelan untuk memeriksa pesawat sedia ada supaya kejadian sama tidak berulang.

Dalam kejadian itu, dua juruterbang TUDM, Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Mejar Mohd Hasri Zahari terkorban selepas pesawat Hawk 108 M40-02 dikendalikan mereka dalam latihan terhempas di Chukai, Terengganu.

Berita berkaitan:

Rangka sawat punca nahas Hawk

Nahas Hawk 108

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 6:33pm
d