utama

5 pakar kita, 2 pembedahan [METROTV]

Oleh Daripada Yusmizal Dolah Aling di Tankhali

MISI kemanusiaan Untukmu Rohingya di kem Tankhali, Bangladesh, mencatatkan sejarahnya apabila berjaya menjalankan dua pembedahan kecil ke atas pelarian Rohingya.

Klinik itu dikendalikan lima doktor iaitu pakar bedah jantung dan paru-paru Unit Kardiotorasik Pusat Jantung dan Paru-Paru Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Muhammad Ishamuddin Ismail; pakar bedah paediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Syariz Sehat; pakar bius Hospital Colombia Setapak, Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar; pakar ICU Kanak-Kanak Hospital Selayang, Dr Anis Siham Zainal Abidin dan Pegawai Perubatan UD44 Klinik Kesihatan Merlimau Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Pembedahan itu termasuklah membuang cairan pada mata seorang warga emas dan mengeluarkan serpihan peluru pada lengan remaja.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan, berkata ini adalah kali pertama pihaknya berupaya menyusun atur klinik bergerak yang lengkap dengan peralatan yang membolehkan pembedahan kecil dilakukan.

Katanya, lebih 400 pelarian melakukan pemeriksaan kesihatan di kem yang baru dibuka itu dengan sebahagian kanak-kanak diberi ubat cacing dan demam.

“Alhamdulillah, kita dapat menjalankan operasi klinik bergerak ini seperti kita rancang. Saya berharap dapat melakukan yang lebih baik kerana apa yang dilakukan hari dapat dinikmati sebahagian kecil,” katanya.

Katanya, biarpun mengambil masa lebih empat jam, masih ramai pelarian yang beratur untuk berjumpa doktor kerana keadaan yang begitu mendesak.

"Selain itu, kita juga menyediakan telaga tiub, tandas dan bilik air mengikut spesifikasi tentera yang lebih baik dan menggunakan bahan berkualiti.

"Saya berharap ia akan menjadi contoh kepada pembinaan seumpamanya selepas ini," katanya kepada Harian Metro.

Justeru beliau mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk menjayakan misi ini melalui akaun Muslim Care 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di 0126935938.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 6:55pm
d