utama

Pilunya...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KANAK-KANAK perempuan meninggal dunia selepas terkena serpihan batu pengasah di dada kiri di kediamannya di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan, Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian berlaku pada 5.30 petang ketika bapa mangsa sedang mengasah mata pisau mesin rumput di luar rumahnya.

Bagaimanapun tiba-tiba batu pengasah itu pecah dan terpelanting sebelum terkena di dada anaknya, Nur Aliya Syifa Murad, 5, yang berada lima meter darinya.

"Mangsa yang kesakitan kemudian dibawa ke Klinik 1Malaysia sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rozi berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sementara itu bapanya, Murad, 40-an, berkata, ketika kejadian itu, dia berada di luar rumah dan sedang mengasah mata pisau mesin rumputnya sementara anaknya ketika itu masih berada di dalam rumah.

Menurutnya, bagaimanapun ketika sedang mengasah mesin rumput itu, tiba-tiba batu pengasah itu pecah dan serpihannya terpelanting.

"Pada mulanya ia terkena pada kereta dahulu sebelum terkena dada kiri anak. Saya tidak sedar bila dia berada di luar rumah.

"Dalam keadaan anak yang berlumuran darah dan lemah itu saya terus mengangkat dan membawanya ke Klinik 1Malaysia sebelum dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan, hari ini.

Murad berkata, anaknya seorang yang periang namun tidak mempunyai perubahan pelik dan berperangai seperti biasa.

"Arwah sebelum ini belajar di Tadika Kampung Batin dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Besar 11 pagi hari ini," katanya yang masih trauma dan enggan ditemubual lebih lanjut.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 8:30pm
d