utama

Ajal budak 11 tahun

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BUDAK lelaki berusia 11 tahun maut selepas motosikal Modenas Kriss yang dibonceng bertembung dengan ambulans di Jalan Kampung Senduk Tengah dekat Changkat Ibol, Taiping, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa Ahmad Hazim Ahmad Nazir,11, terperosok di bawah ambulans dari Hospital Taiping sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan penunggang motosikal Anira Husna Ahmad Nazir ,12, yang juga kakak kepada mangsa, cedera.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Pegawai Bomba Kanan 2, Izuan Che Ibrahim berkata, pihaknya menerima kecemasan jam 11.11 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa yang terperosok di bawah ambulans terbabit sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Kejadian itu turut mengakibatkan pemandu serta pegawai perubatan yang berada di dalam ambulans itu mengalami kecederaan selepas dipercayai merempuh tiang elektrik selepas bertembung dengan mangsa.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan sebelum operasi ditamatkan jam 11.48 pagi," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 3:10pm
d