utama

Ikrar jaga nenek sampai akhir hayat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

DEMI kasih kepada nenek buta yang menjaganya sejak lahir, Syawal Mukhriz Abdul Razak yang baru berusia 14 tahun berikrar menjaga dan menemani neneknya itu selama-lamanya.

Hari ini, Syawal Mukhriz memimpin neneknya, Azilah Walad, 67, berjalan sejauh dua kilometer untuk menerima bantuan barangan keperluan harian Program Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) di sebuah masjid di Pumpong, Alor Setar, hari ini.

Menurut Azilah, sejak itu dia hilang punca pendapatan selepas menjadi buta 10 tahun lalu, cucunya itulah yang membantu menguruskan rumah, termasuk mengemas dan memasak.

“Bagaimanapun, saya bimbang mengenai masa depannya kerana dia tidak mahu ke sekolah," katanya.

Menurut Syawal Mukhriz, dia bimbang meninggalkan neneknya seorang diri jika ke sekolah.

“Saya takut nak tinggalkan nenek seorang diri di rumah, kalau saya ke sekolah, tiada siapa masak dan beri nenek makan.

“Insya-Allah saya akan ke sekolah semula bila keadaan mengizinkan," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah itu.

Azilah yang tinggal di Kampung Alor Gunung, Seberang Pantai Johor, Alor Setar, bersyukur dipilih menerima sumbangan barangan keperluan harian itu kerana ia mencukupi untuk bekalan makanan mereka berdua selama sebulan.

“Saya hidup bergantung ihsan rakan dan orang ramai untuk makan. Merekalah yang memberi beras dan wang untuk saya dan cucu.

“Alhamdulillah makanan kami dua beranak tidak pernah putus walaupun hidup kami dua beranak ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang," kata ibu empat anak itu selepas menerima sumbangan berkenaan di Masjid Halim Shah.

Azilah berkata, dia tidak mengharapkan wang anak-anaknya berikutan mereka juga hidup susah dan perlu menyara keluarga.

Nenek kepada 13 cucu ini berkata, dia pernah menjual kuih namun tidak lagi dapat berbuat demikian selepas kemalangan ketika menunggang basikal menjual kuih sekitar Alor Setar akibat dirempuh motosikal 10 tahun lalu.

“Kepala saya terhantuk pada pembahagi jalan dan empat bulan kemudian, saya hilang penglihatan akibat masalah saraf.

“Sejak itu saya hilang punca pendapatan. Jika tidak saya ada pendapatan RM600 sebulan,” katanya.

Azilah antara 20 penerima sumbangan BARAKAH yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan golongan asnaf, disampaikan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK).

Wartawan Harian Metro kemudian memberitahu penganjur dia bersedia menghantar Azilah dan cucunya pulang selepas majlis penyampaian itu.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 8:47pm
d