utama

Treler, kereta bertembung: 2 maut

Oleh Nur Saliawati Salberi

DUA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 197.8 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, kira-kira jam 7 malam tadi.

Mereka yang maut adalah pemandu lori dan pemandu kereta, kedua-dua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Difahamkan, kereta Honda Jazz dipandu wanita berusia 30an bersama suami dan dua anaknya masing-masing berusia tiga dan enam tahun dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur manakala treler dari arah Kuala Lumpur ke Johor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 malam.

"Sebaik tiba di lokasi kami mendapati terdapat empat orang mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki di dalam kereta manakala seorang di dalam treler.

"Mangsa yang parah seorang lelaki dewasa dan dua anaknya dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba kemudian mengambil mangsa hampir 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang maut dengan menggunakan pemotong hidrolik.

Disiarkan pada: October 29, 2017 @ 11:25pm
d