utama

Penyamun datang tembak 

Oleh Norizuan Shamsuddin

MAJIKAN dan pekerja syarikat pengurup wang cedera di muka selepas ditembak penjenayah yang dipercayai cuba menyamun mereka di depan pasar raya Bilion, Bandar Teknologi Kajang, 9.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian itu pada 10.05 malam.

Katanya, sepasukan anggota termasuk unit forensik ke lokasi bagi siasatan dan tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati dua mangsa membabitkan seorang majikan syarikat pengurup wang iaitu wanita tempatan berusia 61 tahun bersama pekerjanya lelaki warga Pakistan berusia 33 tahun dan masing-masing cedera di bahagian muka akibat terkena tembakan.

"Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan menghantar pekerjanya ke lokasi terbabit dan sewaktu lelaki itu turun dari kenderaan model Toyota Fortuner terdapat sebuah kereta Proton Waja menghampiri serta melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.

"Mangsa di hantar ke Hospital Kajang bagi rawatan dan siasatan dilakukan oleh unit forensik turut menemui empat kelongsong peluru di lokasi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jelasnya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek terbabit.

"Kita tidak menolak kemungkinan kejadian dipercayai bermotifkan samun berdasarkan pekerjaan mangsa.

"Bagaimanapun, kita belum mendapatkan keterangan mangsa bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kejadian sama ada mereka mengalami kerugian atau sebaliknya berikutan dua mangsa terbabit masih dirawat.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971," katanya.

 

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 3:27am
d