utama

Dua sahabat dikhuatiri lemas, seorang selamat

Oleh Norizuan Shamsuddin

DUA pelajar tingkatan satu dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ketika melalui tepi longkang di belakang sekolah menengah di Taman Yarl, Kuala Lumpur, hari ini.

Mangsa Mohammad Shafiq Akmal Amran, 13 dan rakannya Rafiuddin Fakhrullah Ridzuan, 13 dipercayai terjatuh ke dalam longkang itu kira-kira 3 petang.

Seorang rakan mereka, Aidil Azhar Sham Saffiri berjaya menyelamatkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah.

Susulan kejadian pihak sekolah menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi bantuan mencari dan menyelamat mangsa.

Misi mencari dan menyelamat masih dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dang Penyelamat Bukit Jalil dan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bapa seorang daripada mangsa, Amran Mohd Ali, 35, berkata, kejadian dipercayai berlaku sewaktu anaknya, Mohammad Shafiq bersama dua rakan pulang dari sekolah.

Katanya, dia dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian menimpa anak keduanya itu.

"Difahamkan Mohammad Shafiq bersama dua rakannya melintasi jambatan tetapi jatuh akibat arus deras dan salah seorang rakannya berjaya menyelamatkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah.

"Menurut rakannya yang selamat, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan arus deras secara mendadak menyebabkan mereka dihanyutkan arus deras selepas terjatuh.

"Pencarian masih dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan saya berharap anak dapat ditemui," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, susulan kejadian pihaknya membuka pusat operasi berdekatan Lombong PPR Kampung Muhibah bagi operasi mencari dan menyelamat.

"Difahamkan kejadian berlaku kira-kira satu kilometer dari pusat operasi dan aliran longkang berkenaan mengalir ke Lombong PPR Kampung Muhibah.

"Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa terbabit dilakukan bermula dari lokasi kejadian sehingga ke lombong berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 9:19pm
d