utama

Ustaz Bollywood mahukan penjelasan

Oleh Asrizal Aris

"SAYA mahukan penjelasan, di mana rasionalnya mengatakan saya memecahbelahkan antara orang Islam dan bukan Islam," kata pendakwah bebas, Ustaz Haslin Baharim susulan beliau diharamkan berceramah serta memasuki negara Singapura.

Haslin yang popular dengan panggilan Ustaz Bollywood berkata, perkara itu membuatkannya seperti 'digantung tidak bertali' kerana diharamkan ke negara itu tanpa diberi penjelasan yang menyeluruh kepadanya mengenai isu yang dibangkitkan.

"Saya pun tercari-cari ceramah yang mana mengatakan saya menggalakkan perpecahan antara rakyat negara itu. 

"Dalam dua hari ini, saya mahu bersemuka dengan pihak agama Islam Singapura untuk diberi penjelasan dan tunjukkan video ceramah saya serta di mana tempatnya.

"Kalau ceramah di Malaysia, mereka (kerajaan Singapura) tak boleh campurkan dengan hal ehwal di Singapura kerana saya berceramah mengikut isu semasa serta latar belakang penonton yang hadir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Haslin, dia lebih kecewa apabila bukan sahaja tidak dibenarkan berceramah malah diharamkan untuk memasuki negara jiran itu.

"Janganlah sampai tak boleh masuk Singapura sebab ramai saudara mara saya kat sana untuk saya ziarah. Tak bagi ceramah tak apa, sebab di Malaysia pun banyak permintaan untuk saya berceramah.

"Tapi saya masih mahukan penjelasan isu ini kerana bukan sahaja mencalarkan nama saya di peringkat antarabangsa malah menjejaskan imej Malaysia," katanya yang mengalu-alukan media Singapura menghubunginya untuk memberi reaksi.

Menurutnya, dia turut menghubungi beberapa pihak yang rapat di Singapura dan pihak itu mencadangkan kepadanya untuk mengemukakan saman sekiranya dia berada di pihak benar.

"Kita tengok dulu apa penjelasan dari kerajaan Singapura mengenai 'point' yang mereka katakan saya memecahbelah rakyat.

"Kalau tiada kaitan, kita boleh saman tetapi saya masih pertimbangkan tindakan itu.

"Namun jika benar saya menggalakkan perkara tidak betul, saya sedia mengemukakan permohonan maaf," katanya.

Menurut Haslin, dia sentiasa berhati-hati ketika berceramah di luar negara seperti Singapura dan Brunei yang mana dia tidak langsung akan menyentuh isu Syiah dan politik kerajaan negara berkenaan.

Katanya, situasinya kini bagaikan penceramah Dr Zakir Naik dan dia berharap kerajaan Singapura memberinya peluang untuk membenarkan memasuki negara itu atas urusan keluarga.

Hari ini, kerajaan Singapura mengharamkan dua pendakwah iaitu Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan Haslin memasuki negara itu berikutan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan menyebarkan pandangan yang memecah belahkan rakyat.

Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan berkata, Ismail Menk dalam ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu berlainan agama.

Haslin pula dituduh membawa pandangan yang menggalakkan perpecahan di antara orang Islam dan bukan Islam, yang disifatkannya sebagai menyimpang.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 11:42pm
d