utama

Terjun dari tingkat enam bangunan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENGUNJUNG kompleks beli-belah di pusat peranginan Genting Highlands, Bentong, gempar selepas menyaksikan kelibat seorang wanita terjun dari tingkat enam bangunan sebelum maut di tempat kejadian, semalam.

Dalam kejadian 2.21 petang itu, wanita berusia 23 tahun dikatakan berdiri di kawasan parkir pusat beli-belah sebelum bertindak membunuh diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong Deputi Superintendan Zainudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian mangsa dipercayai berseorangan sebelum terjun dari ketinggian hampir 25 meter.

“Polis masih menyiasat motif wanita itu membunuh diri. Keterangan keluarga dan rakannya diambil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan dan kepala.

Zainudin berkata, mayat diserahkan kepada keluarga sebaik proses bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Bentong dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 2:59pm
d