utama

Alexis mahu bergelar ratu

Oleh Georgie Joseph

Gadis bernama Alexis ini sudah lama bercita-cita mahu menceburi bidang hiburan.

Namun, Alexis, 22, tidak menunggu lama apabila peluangnya tiba pada usia muda.

Mula menceburi bidang pengacaraan TV dan penyampai radio beberapa tahun lalu, Alexis atau nama sebenarnya Alexis Sue-Ann Seow pantas mencipta nama.

Kredibilitinya sangat meyakinkan sehingga terpilih menjadi hos kepada program kapsul 8tv Quickie selain menjadi penyampai stesen radio Hitzfm.

Namun, dia tidak mahu perjalanan seninya terhenti di sana. Dia juga sering menyimpan impian bergelar ratu suatu hari nanti.

Dia mencabar diri untuk menyertai pertandingan ratu cantik berprestij Miss Universe Malaysia 2018 pula.

“Saya memang mengikuti pertandingan ratu cantik ini sejak kecil. Saya suka dengan pertandingan itu yang mengangkat martabat wanita selain ada misi tersendiri untuk berbakti kepada dunia.

“Ia bukan sekadar mementingkan kecantikan semata-mata, tetapi orang ramai perlu tahu sebenarnya banyak lagi tugas penting sebagai ratu. Disebabkan itulah saya menyahut cabaran untuk bertanding dan mengambil pengalaman sebaik-baiknya untuk digunakan pada masa depan,” katanya.

Di sebalik keyakinan yang ada dalam dirinya sekarang, anak jati Selangor ini mengakui dia mengambil masa untuk mengumpul kekuatan itu.

Malah, sebelum ini dia juga tidak yakin berdepan dengan orang ramai.

“Sebelum ini, saya tidak seperti yang orang kenal sekarang. Saya sangat tidak yakin dengan diri dan selalu berasa kurang cantik.

“Bagaimanapun, apabila usia makin meningkat, saya sedar kita akan semakin sayang terhadap diri sendiri. Setiap yang kita lakukan sebenarnya berharga dan tahun ini saya memberanikan diri dengan menyertai pertandingan ratu cantik,” katanya.

Dia tidak menafikan misi utamanya adalah untuk memenangi pertandingan itu. Namun, dia tidak mahu berhenti setakat menjadi pemenang sebaliknya ada misi besar yang ingin dilaksanakannya.

Menyedari platform itu sangat tepat buatnya, Alexis mahu menggunakan suaranya kelak sebagai wakil untuk memberi kesedaran terhadap pelbagai isu serius.

“Saya mengambil serius mengenai isu buli siber yang nampaknya semakin menjadi-jadi sekarang. Ribuan mangsa mengambil langkah terakhir dengan membunuh diri akibat tidak tahan dibuli di seluruh dunia setiap tahun.

“Itulah yang mahu diperjuangkan dalam pertandingan ini nanti kerana saya sendiri pernah melalui semua itu. Jadi isu itu sememangnya sangat dekat di hati dan inilah masanya untuk mencetuskan kesedaran ramai agar membuka mata,” katanya.

Bukan mudah buat Alexis menyerlah memandangkan 17 gadis lain untuk gelaran Miss Universe Malaysia 2018 memiliki kelebihan lain.

Bagaimanapun, dia ada cara tersendiri untuk memastikan dirinya akan bersinar kelak.

“Saya tahu semangat yang tinggi adalah kunci terbaik sejauh mana kita akan pergi dalam sesebuah pertandingan. Saya akan menunjukkan keyakinan tinggi dan sifat bersungguh-sungguh supaya dipandang serius.

“Bagaimanapun, bukan bermakna saya boleh mendabik dada dengan pengalaman yang ada. Tujuan sebenar saya pun adalah untuk terus belajar banyak perkara dan siap sedia bermula dari bawah dalam pertandingan ini,” katanya.

Selain Alexis, 17 peserta lain bertanding adalah Asha Kaur, 22, dari Kuala Lumpur, Charlotte Tan (Perak), 24, Chermaine Chew (Kuala Lumpur), 20, Jai Dhillon (Kuala Lumpur), 23, Jane Teoh (Pulau Pinang), 20, Jasebel Robert (Kuala Lumpur), 22, Jessy Gantle (Sarawak), 23, Kaayatri Pramasivam (Kuala Lumpur), 25, Kirsten Wong (Kuala Lumpur), 22, Liliana Fernandez (Kuala Lumpur), 20, Lysandra Gabriel Storie (Sarawak), 20, Maria Devonne Escobia (Kuala Lumpur), 24, Mellisa Wong (Selangor), 22, Nathasha Aprillia (Sabah), 23, Sabrina Thevy (Selangor), 25, Shahraswaty (Selangor), 25, dan Shannen Jade (Kuala Lumpur), 23.

Pemilihan pemenang gelaran itu bakal dilangsung­kan awal tahun depan dan pemenang bakal mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2018.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 4:15am
d