utama

Bahana pukul isteri kuat membebel

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TUKANG rumah dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan mencederakan isteri pertamanya dengan tangan, bulan lalu.

Majistret Mohd Azrul Hasyimi Mohammad menjatuhkan hukuman itu selepas Harun Talib, 55, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memukul isterinya, Miss Maehyae, 53, hingga cedera di bibir di sebuah rumah di Jalan Sri Cemerlang di Kota Bharu pada 11.15 malam, 28 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa beberapa kali di kepala dan muka menggunakan tangan sebelum dihentikan jirannya.

Mangsa kemudian keluar dari rumah itu dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian berpunca apabila wanita itu kerap membebel selepas tertuduh berlaku tidak adil dalam membahagikan masa bersama mangsa dan isteri keduanya.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahan selain perlu menyara anak dan dua isteri.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa selepas dipukul berkali-kali.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 3:32pm
d