utama

Datuk Seri didakwa empat tuduhan

Oleh Sarah Zulkifli

AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas empat tuduhan termasuk menyerang dan mencederakan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika bertugas di tokong di Kampung Baru Ampang, minggu lalu.

Bagaimanapun, Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus yang bertindak sebagai majistret.

Tertuduh yang memakai kemeja putih kelihatan tenang dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding berlangsung.

Bagi tuduhan pertama, Liow didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Lee Weng Poh, 27, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, jam 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga dituduh menyerang penjawat awam Melvin Cheong Mun Khai, 19, yang menjalankan tugas sebagai anggota RELA di tempat, masa dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 353, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi tuduhan ketiga dan keempat, Liow dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Leong Jun Jie, 21, dan Melvin di tempat, masa dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menggangu saksi.

Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan jaminan yang munasabah.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menetapkan 14 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga anggota RELA masing-masing bengkak pada mata kiri selain sakit pada bahagian badan selepas dipukul dan ditendang tertuduh yang berpunca tindakan mangsa meminta kenderaan Toyota Vellfire milik tertuduh yang diletakkan di tepi jalan besar dialihkan kerana menghalang lalu lintas.

Berita berkaitan

Positif dadah pula

Datuk Seri direman empat hari [METROTV]

Datuk Seri dah dicekup

Nak sogok RELA pula

Tahniah kerana kekal profesional

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 4:19pm
d