utama

Pilih lagu rentak EDM

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Mula dikenali pada 2006 melalui album pertama, Naluri Lelaki, akhirnya selepas menghasilkan tiga album, vokalis kumpulan Samsons, Bams, meninggalkan kumpulan itu.

Cukup dikenali dengan lagu Kenangan Terindah, Bams meninggalkan rakan-rakan, Irfan Aulia Irsal, Erik Partogi Siagian, Aldri Dataviadi dan Chandra Cristianto untuk meneruskan kerjaya sendiri pada 2012.

Arah tuju agak samar serta komunikasi antara anggota dikatakan antara punca Bams memilih untuk membawa haluan sendiri.

Pada 2013, Samsons mendapat pengganti, Aria Dinata dan menghasilkan single Di Ujung Jalan yang dilancarkan pada 21 Ogos 2013 diikuti album baru, Perihal Besar pada Oktober 2013.

Bams atau Bambang Reguna Bukit, 34, yang ditemui ketika menjayakan AF Megastar baru-baru ini, menafikan keluar daripada Samsons kerana ada masalah dengan anggota lain.

Penyanyi kelahiran Ottawa, Kanada itu menjelaskan, walaupun sudah lama meninggalkan Samsons tetapi hubungan persahabatan antara mereka masih baik.

“Kenyataan saya meninggalkan Samsons kerana berselisih faham dengan anggota yang lain adalah tidak benar sama sekali.

“Malah sehingga kini kami sentiasa berhubung dan berbincang mengenai perkembangan masing-masing juga muzik semasa,” katanya.

Mengenai kemungkinan mereka kembali bersatu untuk melaksanakan projek khas sekali gus mengubat rindu peminat yang mahu menyaksikan mereka beraksi bersama sekali lagi, Bams menegaskan, perkara itu tidak mungkin akan berlaku.

Katanya, dia sendiri berasakan hala tujunya dalam industri muzik sudah terlalu jauh berbanding dengan apa yang ditampilkan sewaktu bersama Samsons dulu.

Bams juga menafikan sepanjang tidak lagi bersama Samsons, timbul penyesalan dalam hatinya kerana meninggalkan kumpulan itu saat populariti mereka berada di puncak.

Katanya, pada awal penubuhan Samsons dulu mereka tidak pernah menjadikan populariti dan wang sebagai taruhan.

“Saya tidak pernah ambil kesah mengenai populariti mahupun wang sebaliknya muzik yang kami hasilkan itu mendatangkan wang.

“Sebagai penggiat industri muzik, saya memang dari dulu tidak mahu apa yang diperjuangkan dicemari dengan unsur komersial.

“Sekarang ini popular atau tidak, saya tidak kesah kerana untuk mengetengahkan karya dihasilkan juga tidak susah kerana kini banyak platform media sosial dan digital boleh digunakan,” katanya.

Andai muzik yang diketengahkan selepas ini tidak berjaya, kata Bams dia tidak akan berasa kecewa kerana kali ini dia melakukannya untuk kepuasan diri sendiri dan bukan untuk orang lain.

Katanya, dia menghasilkan lagu kerohanian sebaik meninggalkan Samsons dan kini memilih untuk menghasilkan lagu berentak Electronic Dance Music (EDM).

“Saya memilih EDM kerana sejak muzik itu mula diperkenalkan di Indonesia, hati saya sudah mula berasa tertarik.

“Walaupun perkembangannya masih baru tetapi EDM diterima baik peminat muzik di Indonesia. Saya percaya dengan muzik itu dan perkembangannya di seluruh dunia sangat memberangsangkan,” katanya.

Untuk single terbarunya, ia dihasilkan sepenuhnya oleh Bams dan diberi judul Solo.

Katanya, memandangkan dia masih baru dengan muzik EDM, saudaranya juga seorang deejay kelab terkemuka di Jakarta dan sudah lama mempelopori muzik EDM banyak membantunya dalam menghasilkan single terbarunya.

Bersama Samsons, Bams menghasilkan album Naluri Lelaki pada 2006 dan popular dengan lagu Kenangan Terindah diikuti album kedua, Penantian Hidup setahun kemudian dan 2008, Penantian Hidup Platinum Edition.

Waktu sama, Bams tampil dengan album Stand Out bersama kumpulan barunya, Giving My Best (GMB) serta beberapa album lagi bersama GMB.

Pernah bercinta dengan pelakon Nia Ramadhani lebih setahun pada 2007, Bams berkahwin dengan Mikhavita Wijaya pada 17 Januari 2014 dan mempunyai anak, Eleanor Reguna Bukit.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 6:14am
d