utama

Abang lumpuh gigil naik motor

Oleh Garret Dawum

Lenggong: “Sudah lama abang saya (Murad Panjang) tidak menjalani rawatan kesihatan kerana masalah pengangkutan namun usaha pihak UMNO melawat kampung kami dengan pemeriksaan kesihatan percuma membantu saya mengetahui tahap kesihatannya yang terkini,” kata Zamri Panjang.

Zamri, 36, yang juga masyarakat Orang Asli RPS Kampung Air Bah berkata, selain pengangkutan, lokasi klinik berdekatan iaitu 15 kilometer dari kampungnya juga menjadi penghalang dia menghantar Murad, 37, bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Abang saya lumpuh dan tidak selamat membawanya menunggang motosika kerana jalan kampung kecil serta berliku-liku ditambah abang kuat menggigil walaupun diikat kain.

“Sebab itu, kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma dalam program UMNO ini memberi peluang kami mendapatkan ubat selain rawatan percuma,” katanya selepas program UMNO Bantu Rakyat 2.0 ke Perak di sini, semalam.

Dalam program itu, 200 masyarakat Orang Asli mendapat bantuan barangan keperluan harian yang disampaikan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Selain bantuan dan pemeriksaan kesihatan percuma, pelbagai aktiviti turut dilakukan seperti pertandingan karaoke, sukaneka, andaman wanita dan persembahan tarian tradisional.

Shamsul Anuar berkata, Biro Kebajikan UMNO mahu membantu masyarakat dengan adil serta saksama dan jelajah kali ini turut memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyat.

“Tiada yang terkecuali dalam mendapatkan bantuan dan masyarakat Orang Asli di negara ini tidak dipinggirkan daripada sebarang bantuan kerajaan serta mereka berhak mendapat layanan sama rata.

“Dalam konvoi ini, kami juga membawakan pegawai perubatan yang membuka gerai pameran untuk memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada rakyat.

“Maknanya di sini, sumbangan kebajikan yang disalurkan bersifat menyeluruh dan berfokus pada sasarannya,” katanya.

Terdahulu, menerusi program sama, 800 keluarga masyarakat Siam di Pengkalan Hulu, Perak yang terdiri dari penduduk kampung Tasek, Belukar Semang dan Pong mendapat sumbangan barangan keperluan asas.

Penduduk, Si Reng Din Bon Kew, 78, berkata, bantuan diberikan menunjukkan kerajaan prihatin dengan nasib masyarakat Siam di kawasan pedalaman.

“Terima kasih kerana ada yang sudi melawat saya. Minta maaf pak cik tidak mampu berjalan jauh dan berdiri lama kerana faktor usia.

“Begini keadaan pak cik. Tinggal seorang diri. Walaupun ada anak tapi mereka tinggal jauh kerana kerja,” katanya sambil memberitahu perlu menjalani rawatan kesihatan sebulan sekali.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 7:10am
d