utama

Mental punca bekas tentera bunuh 26 orang

Oleh Agensi

LELAKI yang menembak mati 26 orang dalam gereja, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Sutherland Springs, Texas, dikenali sebagai bekas tentera udara Amerika Syarikat yang ditamatkan perkhidmatan kerana memukul isteri dan anaknya.

Lelaki itu, Devin Patrick Kelley, 26, berjalan masuk ke dalam Gereja First Baptist yang terletak kira-kira 65 kilometer dari San Antonio, berpakaian hitam seperti anggota pasukan khas, melepaskan tembakan dengan raifal.

Serangannya terhenti selepas tembakan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Stephen Willeford, 55, mengenai tubuhnya yang tidak dilindungi baju kalis peluru.

Kelly kemudian terbunuh selepas kenderaannya terbabas ketika dikejar Willeford dan seorang lagi penduduk, Johnnie Langendorff.

Setakat ini pihak berkuasa belum mengumumkan punca kematian Kelly, sama ada akibat kemalangan itu atau tembakan.

Pesuruhjaya Daerah Wilson, Albert Gamez Jr, memberitahu CNN, sekurang-kurangnya 26 terbunuh dalam kejadian itu namun jumlah kematian dikhuatiri meningkat kerana ramai mangsa yang kritikal.

Antara yang maut, kanak-kanak perempuan dua tahun, seorang wanita hamil dan anak perempuan pastor gereja berkenaan berusia 14 tahun.

Daily Mail melaporkan, berdasarkan Facebooknya, Kelly ialah bekas tentera udara serta bekas guru pengajian Bible dan baru-baru ini menyiarkan gambarnya bersama raifal AR-15.

Dia berkahwin dengan Danielle Shields dan mempunyai seorang anak. Isterinya pernah mengajar di gereja yang diserangnya itu. Mereka tinggal di rumah ibu bapa Kelly.

Menurut CBS, dalam tentera udara, Kelly bertugas di bahagian logistik sehingga diberhentikan selepas dibicarakan di mahkamah tentera kerana menyerang isteri dan anaknya pada 2014.

Reuters melaporkan, Presiden Donald Trump berkata di Tokyo, kejadian itu lebih kepada masalah mental, bukannya isu memilik senjata api dengan mudah.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal, penyerang mempunyai banyak masalah dan tertekan.

“Kita mempunyai banyak masalah mental di negara kita, juga negara lain. Namun, kejadian ini bukan berkaitan isu senjata api.

“Nasib baik ada orang lain yang memilik senjata api menembaknya (penyerang),”

“Ini masalah mental yang teruk. Ia kejadian yang amat menyedihkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 5:21pm
d