utama

Maut ditikam adik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KETUA Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh maut dipercayai ditikam adik lelakinya dalam pergaduhan di rumah keluarga di Taman Bunga Sejati, Rantau, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa, Norhaidi Mat Yusop, 40, dikatakan bertengkar dengan adiknya yang berusia 31 tahun sebelum dia ditikam dipercayai menggunakan pisau di bahagian belakang badan.

Jiran mangsa, G Yuvarajah, 21, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terdengar bunyi bising dan jeritan dari rumah mangsa lalu keluar untuk melihat keadaan.

"Saya lihat mangsa sudah berlumuran darah berlari dikejar adiknya yang memegang penyodok besi. Ibu mereka pula menjerit meminta tolong.

"Saya mengejar mereka untuk menghalang, namun apabila menghampiri saya melihat mangsa sudah terbaring di atas jalan manakala suspek berjaya diberkas orang ramai kira-kira 30 meter dari rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Yuvarajah berkata, dia difahamkan suspek tinggal bersama ibu di rumah berkenaan manakala mangsa yang sudah berkahwin tinggal bersama keluarga di kawasan berhampiran.

"Mangsa (Norhaidi) dikatakan baru menghantar anaknya untuk dijaga ibu sebelum berlaku pergaduhan antara dia dan suspek.

"Bagaimanapun, punca pergaduhan saya tidak tahu. Saya tidak mengenali mereka secara dekat kerana baru lima bulan tinggal di sini," katanya.

Mangsa yang cedera meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 9.30 pagi dan mayatnya diserahkan ke Unit Forensik HTJ untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 6:04pm
d