utama

Pihak pengurusan siasat pelakon

Oleh Nabihah Kamal

PELAKON drama dan pengacara yang ditahan polis selepas pemeriksaan di dalam kereta dinaiki menemui ganja, kini masih dalam siasatan dalaman pengurusan stesen televisyen tempat dia bekerja sebelum sebarang tindakan diambil.

Jurucakap stesen televisyen itu berkata, jika benar ia berlaku, pihaknya tidak akan menyembunyikannya.

"Kita masih jalankan siasatan. Kita lakukan siasatan dulu sebelum mengambil tindakan lanjut sekiranya dia benar-benar terbabit dalam insiden itu.

"Pihak pengurusan tidak akan menyembunyikan salah laku terbabit jika benar dia bersalah. Beri kami ruang untuk jalankan siasatan terlebih dulu," katanya.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan, pelakon drama dan pengacara itu ditahan pada 1.30 pagi kawasan berhampiran stesen minyak di Jalan Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Jumaat lalu, bersama adik lelakinya berusia 20 tahun dan rakan lelaki mereka berusia 25 tahun.

Menurut sumber, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menahan kereta dinaiki mereka selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki, polis menemui satu tin berisi daun ganja dan ganja mampat disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

“Turut ditemui botol lutsinar yang diubahsuai untuk menghisap ganja,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati mereka positif ganja.

Katanya, mereka ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 37A (1) ( b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tangkapan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berita berkaitan:

Pelakon kantoi dadah dalam kereta

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 10:30pm
d