utama

Minta kakak lihat laman bunuh diri

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: “Dia meninggalkan nota supaya membuka komputer ribanya yang mengandungi laman web cara untuk membunuh diri,” kata Teoh Qiong Lin, 29, kakak kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Universiti, di sini, kelmarin.

Katanya, dia menemui sekeping nota di atas meja adiknya, Teoh Man Chee, 17, anak bongsu daripada empat beradik itu, jam 7 pagi kelmarin yang ditujukan kepada bapa serta ahli keluarga.

Katanya, kejadian itu disedari selepas mendapati remaja terbabit tiada di rumah keluarganya dipercayai sudah keluar rumah dengan membawa bersama sebuah beg pakaian serta wang tunai RM30.

Qiong Lin berkata, ketika membuka komputer riba adiknya, dia menemui laman web berkaitan cara membunuh diri.

Katanya, keluarganya bimbang kerana adiknya itu dipercayai mempelajari teknik membunuh diri dari laman web terbabit.

“Jika dilihat, untuk melengkapkan semua langkah yang dipaparkan dalam laman web itu, ia perlu mengambil masa dua bulan,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Katanya, adiknya juga kerap dilihat menangis oleh ahli keluarga jam 3 pagi sejak dua minggu lalu.

“Tidak ada perbalahan antara ahli keluarga selain adik juga seorang pendiam.

“Kami rindukan adik dan tidak menyalahkan adik dengan apa yang berlaku. Kami juga tidak kisah sekiranya adik tidak menduduki SPM,” katanya yang membuat laporan kehilangan adiknya di Balai Polis Taman Universiti, di sini, kelmarin.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya boleh menghubunginya di talian 016-7022845 atau 012-7511289.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 6:44am
d