utama

'Mahu perhubungan stabil, matang'

Oleh HM Digital

Daripada raut wajah yang berseri-seri, ternyata Sasqia Dahuri, 32, sedang diulit kebahagiaan. Hampir lima tahun pelakon drama Cik Bunga Encik Sombong ini tidak berteman selepas percintaannya yang lalu putus di tengah jalan.

Selepas itu hatinya seakan-akan tertutup untuk menerima cinta baru.

Namun, menerusi pertemuan dan perkenalan tanpa dirancang ketika mengadakan sesi bertemu peminat di Singapura, Ogos lalu, hatinya tiba-tiba terpaut dengan seorang jejaka dari negara itu.

“Dia menaja acara itu dan kami langsung berkenalan. Semuanya berlaku secara semula jadi dan kami terus serasi. Dia muda lima tahun daripada saya tetapi kematangannya memikat hati. Pada mulanya saya bimbang dengan perbezaan usia kami.

“Dia seorang yang sangat memahami dan senang diajak berbicara. Berada dengannya, dia tidak memberikan saya layanan istimewa seorang artis, kami makan di mana saja dan naik kenderaan awam di Singapura. Berpakaian pun yang ringkas saja.

“Saya selesa dengan caranya itu dan rasa selamat apabila berada bersamanya. Walaupun saya seorang yang berdikari tetapi pada masa sama, saya juga mahu dimanja,” katanya.

Terbukti keikhlasan jejaka itu menerima Sasqia dalam hidupnya apabila dia memperkenalkan pelakon tinggi lampai itu kepada keluarganya.

“Alhamdulillah, saya cepat mesra dengan keluarganya dan mereka juga menerima saya dengan baik.

“Dia yang terbabit dalam perniagaan hartanah tidak aktif melayari media sosial dan tidak pernah tahu siapa saya tetapi apabila dia tahu saya pelakon, dia tak teruja pun.

“Menceburi bidang kerjaya yang berbeza juga memberi kelebihan dalam hubungan kami kerana saling bercerita kerja masing-masing.

“Dia juga tidak pernah mencampuri urusan kerja saya terutama ketika sedang melayan peminat. Dia hanya memerhati dari jauh,” katanya.

Menurut Sasqia, pada usianya sekarang dia mahukan perhubungan yang stabil dan matang, namun ketika ini mereka belum berbincang untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Insya-Allah, apabila tiba masanya nanti, akan saya kongsikan kegembiraan itu,” katanya.

Tak kisah hubungan jarak jauh

Sasqia juga tiada masalah dalam perhubungan jarak jauh.

Katanya, dengan adanya teknologi dan kemudahan pengangkutan yang makin selesa, Kuala Lumpur dan Singapura terasa dekat saja.

Sasqia mengakui dia sukar mempercayai orang, tetapi dengan sikap terbuka jejaka itu dalam semua perkara berjaya melembutkan hatinya.

“Dalam perhubungan, saya perlukan orang yang memahami diri saya dan senang berkomunikasi kerana mahu kekal hidup bersamanya selagi ada hayat,” katanya.

Sasqia yang sebelum ini agak berahsia mengenai peribadinya kini semakin terbuka untuk berkongsi dengan peminat dan masyarakat.

“Tidak perlu saya berahsia lagi kerana yakin sudah berjumpa dengan orang yang dapat membahagiakan saya.

“Dia juga tahu tanggungjawab saya sebagai anak sulung dalam keluarga kerana dia juga anak pertama dan begitu mengambil berat mengenai ibu bapanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sasqia terus sibuk dengan dunia lakonannya dan antara drama terbaru lakonannya ialah Jurnal Suraya, Cinta Hati Batu, Cinta Koko Coklat dan Khabar Dari Casablanca.

Katanya, pada Februari tahun depan dia akan berlakon dalam drama dialek Kelantan arahan Sabri Yunus. Sebanyak 70 peratus dialog menggunakan dialek negeri itu.

“Saya memang tertunggu-tunggu untuk bekerja dengan Abang Sabri kerana dia pelakon dan pengarah yang hebat serta amat saya minati,” katanya yang turut berbakat sebagai pengacara. -Nor Akmar Samudin

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 9:40am
d