utama

Rancak kembang bakat mengacara

Oleh HM Digital

Tiga tahun menyulam kasih dengan pengacara Nabil Mahir, pelakon Sarah Hildebrand akui belum memikirkan soal berumah tangga.

Baginya, masing-masing masih memerlukan masa untuk mengukuhkan nama dalam kerjaya yang diceburi.

Meskipun sedar tiga tahun itu agak lama, Sarah, 27, tidak bimbang sebaliknya kepercayaan yang ada terhadap Nabil menguatkan hubungan mereka.

“Ramai orang fikir kami sudah kahwin. Sebenarnya tidak lagi dan kami belum fikir ke arah itu.

“Masing-masing masih sibuk dengan kerjaya dan sedang menstabilkan kedudukan dalam industri,” katanya.

Sambung Sarah, dia tidak merancang untuk bertunang sebaliknya jika sudah sampai masa mahu terus bernikah saja.

“Bila sudah lama bercinta saya rasa lebih baik nikah saja. Tak perlu bertunang,” katanya.

Mengulas perkembangan kariernya, Sarah menjayakan filem TV, Wanita Terindah yang turut dibintangi Fattah Amin dan Nur Fazura.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Fattah, Sarah berkata, meskipun pada awalnya gugup, dia kemudian selesa kerana pelakon itu mudah mesra dan banyak membantu.

“Pertama kali berlakon dengan Fattah memang saya gemuruh kerana dia artis popular. Namun di lokasi dia banyak membantu saya,” katanya.

Mengulas dirinya yang jarang muncul di kaca TV, Sarah berkata dia kini rancak mengembangkan bakat sebagai pengacara.

Selain aktif mengacara majlis korporat, Sarah turut mengendalikan program OMG yang bersiaran di saluran Hypp TV.

“Saya masih minat berlakon cuma kadang-kadang tawaran yang datang bertembung dengan komitmen mengacara.

“Banyak juga tawaran terpaksa saya tolak. Selain itu, saya kena pastikan jalan cerita dan watak sesuai dengan penampilan,” katanya. - Syanty Octavia Amry

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 11:33am
d