utama

Guna kesempatan sebaik mungkin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kemunculan Liza Hanim dalam industri muzik tanah air sekitar 1996 memberi petanda kebangkitan penyanyi wanita.

Malah Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 38, hadir dengan kualiti vokal tersendiri sekali gus meletakkan dirinya antara penyanyi wanita terbaik ketika itu.

Lebih membanggakan apabila kebanyakan lagu nyanyiannya menjadi hit dan berjaya menguasai carta radio.

Namun, ramai beranggapan Liza kurang bertuah apabila dia tidak banyak meraih anugerah. Apatah lagi pada waktu itu Liza perlu bersaing dengan penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Disebabkan itu timbul cakap-cakap mengatakan bakat Liza dinafikan sehingga dia mengambil keputusan memperlahankan kerjaya nyanyian.

“Apa saya lalui dulu dan sekarang, semuanya ketentuan Allah. Mungkin dahulu bukan rezeki saya untuk meraih apa yang diinginkan. Namun, saya tidak pernah mengeluh. Tambahan pula, selepas berkahwin saya mahu fokus kepada keluarga.

“Soal bakat dinafikan, saya tidak bersetuju. Bagi saya itu pandangan masing-masing. Cuma, apa saya boleh katakan setiap apa yang berlaku pasti bersebab. Bukan kuasa saya untuk berkata sesuatu dan meyakinkan orang mengenai sesuatu perkara,” katanya.

Oleh itu, keputusan Liza yang juga pemenang pertama kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-17 menyertai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) adalah tepat.

Apa tidaknya, kemunculan Liza di pentas nyanyian dinanti ramai. Rata-rata peminat merindukan suara gemersik Liza.

Biarpun dia membuat kemunculan pada Anugerah Bintang Popular tahun lalu dan terbabit dalam konsert Wings & Friends di Istana Budaya, peminat masih tidak puas.

“Saya jenis ambil setiap peluang yang ada depan mata. Saya percaya, ruang dan kesempatan diberikan perlu digunakan sebaik-baiknya.

“Pada masa sama, saya tidak boleh menafikan wujud cakap-cakap yang beranggapan sebaliknya. Jadi, saya tak nak memeningkan kepala untuk memikirkan semua perkara yang tidak perlu,” katanya.

Tunjuk taring

Apabila nama Liza yang juga juara program Golden Teen Search pada 1996 diumumkan antara peserta GV4, ramai meramalkan dia bakal bergelar juara.

Meski pada konsert minggu pertama dia sekadar berada di tempat keempat, minggu lalu Liza mendahului kedudukan.

Persembahannya menerusi lagu Aku Seorang Pendatang mendapat ‘standing ovation’ daripada juri tetap Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang selain sorakan penonton.

Ia sekali gus memberi bayangan Liza mula mengatur langkah dan menunjukkan taringnya.

“Diakui susunan lagu ini yang dihasilkan oleh Tok Ram (Datuk Ramli MS) sangat bagus. Ia menjadikan lagu ini bertambah sedap. Saya memang sudah biasa dengar lagu ini, malah pernah dinyanyikan beberapa penyanyi.

“Jadi, apabila saya diberikan tugasan lagu ini, peminat ingin mendengar nyanyian versi saya pula. Saya cuba berikan yang terbaik dalam persembahan minggu lalu. Alhamdulillah, ia berhasil meskipun berlatih sekali saja.

“Soal nak kata saya mulai tunjukkan taring, tidak juga. Ini kerana saya hanya menyampaikan lagu diberikan dengan cara dan gaya tersendiri,” katanya.

Ditanya siapa saingan terdekatnya dalam GV4, penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini menyifatkan Aishah dan Hazami penyanyi senior yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Bagi saya setiap penyanyi ada kelebihan tersendiri. Jika kebiasaannya kami menyanyikan lagu sendiri, dalam pertandingan ini sebaliknya. Menyanyikan lagu orang lain sebenarnya satu cabaran besar.

“Bukan mudah sebenarnya nak mempersembahkan lagu yang bukan milik kita. Sudah semestinya wujud perbandingan dalam kalangan peminat. Sekiranya penyampaian bagus maka pujian yang diberikan. Begitu pula sebaliknya,” katanya.

Kelas vokal

Kehebatan dipamer Liza itu menyebabkan ramai meletakkan harapan tinggi terhadapnya.

“Saya akui sedikit tertekan. Lagipun, saya sudah biasa jadi ‘underdog’ sejak dulu. Apabila sekarang penerimaannya macam ini, saya terkejut.

“Namun, saya perlu letak semuanya ke tepi. Saya hanya mahu buat apa yang terdaya dan paling penting jadi diri sendiri,” katanya.

Pada masa sama, siapa sangka Liza mengambil inisiatif mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Cikgu Syafi.

“Perubahan suara pasti ada apatah lagi usia sudah nak mencecah 40-an. Jadi saya harap peminat tak bandingkan vokal saya sekarang seperti usia ketika 20-an,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 11:28am
d