utama

Budak 3 tahun mangsa ibu 'naik hantu' [METROTV]

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

BERANG melihat anak mahu mengikutnya keluar, seorang wanita 'naik hantu' apabila menampar dan mengheret kanak-kanak itu sehingga terjatuh atas jalan di depan rumahnya di Taman Mahkota Emas, Kuantan, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berkenaan turut ditampar dua kali oleh ibunya sehingga menyebabkannya menangis.

Kejadian sempat dirakam penduduk dan video berdurasi kira-kira 50 saat itu menjadi tular di laman sosial sehingga mendapat kecaman netizen.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila kanak-kanak berkenaan dipercayai mahu mengikut ibunya yang mahu keluar tetapi wanita terbabit mengarahkan anaknya masuk ke dalam rumah.

Namun, kanak-kanak berkenaan enggan mendengar cakap ibunya menyebabkan wanita terbabit berang lalu memarahi dan menampar anaknya sebanyak dua kali.

Tidak cukup dengan itu, wanita terbabit mengheret anaknya ke pintu belakang kereta dan mengarahkan kanak-kanak berkenaan masuk dan duduk di bahagian belakang sebelum beredar dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, ketika dihubungi, di sini, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Ibu mangsa berusia lingkungan 30 tahun tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam, untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, polis mengesahkan kejadian itu tidak berunsurkan penderaan sebaliknya hanya salah faham dalam keluarga dan doktor turut mengesahkan kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 9:01pm
d