utama

Lutut lembik

Oleh Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Tiada tidur malam yang lena buat Zanariah Zainal Abidin, 39, sejak anak lelakinya, Muhammad Idham Hakimi Mohd Razali, 16, merintih kesakitan kakinya hampir setiap malam akibat kecederaan multiligamentous.

Zanariah berkata, segalanya bermula apabila anak ketiganya itu cuba menahan motosikal ditunggangnya daripada terjatuh di depan rumah mereka di FELDA Padang Piol, di sini, awal tahun ini lalu menyebabkan tulang lutut kanannya terpusing.

“Pada mulanya, saya ingatkan kecederaan anak hanya cedera biasa dan membawanya bertemu tukang urut untuk betulkan lututnya.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian lutut anak masih lembik lalu kami bawa dia ke klinik kesihatan dan diberi ubat biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Selepas sebulan, lutut anaknya masih sakit menyebabkannya mendapatkan rawatan di klinik.

“Doktor melakukan imbasan sinaran-x dan kemudian merujuk anak kepada pakar di Hospital Jerantut, pada Ogos lalu tetapi sebaik bertemu, mereka meminta anak dirujuk pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, kerana kaki anak teruk,” katanya.

Selepas dua kali melakukan pemeriksaan di HOSHAS, pakar memaklumkan kaki kanan anaknya kritikal kerana tiga uratnya putus.

“Ketika temujanji pada September lalu, pakar memberitahu anak kena lakukan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kos untuk membiayai pembedahan dianggarkan lebih RM30,000 kerana uratnya perlu ditempah dari Australia,” katanya.

Ibu kepada enam anak itu berkata, pakar turut memaklumkan pembedahan Muhammad Idham Hakimi perlu disegerakan namun dia tidak mampu menanggung kos berkenaan kerana pendapatannya tidak tetap.

Zanariah berkata, dia hanya berniaga kedai makan bersama suami, Mohd Razali Buhari, 47, selain perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah.

“Buat masa ini, anak hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dibekalkan doktor.

“Apabila dia berasa sakit dan tidak boleh tidur malam, saya hanya mampu mengurut kakinya perlahan-lahan sambil memintanya bersabar.

“Kerap juga anak menangis menahan kesakitan dan melihatnya begitu, saya juga tidak boleh tidur lena,” katanya memaklumkan anaknya tidak boleh berdiri dan berjalan dalam tempoh lama.

Menurutnya, dia sudah memohon bantuan zakat bagi meringankan beban namun masih belum mendapat maklum balas.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zanariah di talian 017-9479179.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 6:48am
d