utama

Dynas akhiri zaman solo

Oleh Ramlah Zainal

Hampir empat tahun bergelar ibu tunggal, pelakon dan pengacara terkenal Dynas Mokhtar sudah bersedia untuk menamatkan zaman solonya dengan ahli perniagaan Shazrik Che Mohd Din, 35, pada April tahun depan.

Menurut pemilik nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 34, pihaknya juga sudah mula membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka itu.

“Setakat ini, kami sudah memilih pereka busana pengantin iaitu Syaiful Baharim dan jurugambar yang akan merakamkan majlis bersejarah kami nanti.

“Majlis pernikahan berkonsep tradisional ‘ala kampung’ akan berlangsung di kediaman keluarga saya.

“Manakala, hanya ada satu majlis resepsi bertema ‘black tie’ membabitkan keluarga kedua-dua pihak dan bakal berlangsung di hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

“Kami juga akan mengundang pihak media yang rapat untuk meraikan majlis pernikahan yang turut dihadiri saudara mara dari Tapah dan Kedah nanti.

“Selepas akad nikah, ada majlis bersanding untuk saudara-mara merenjis pengantin,” katanya.

Namun, kata Dynas, pihaknya belum memutuskan tarikh majlis pernikahan dan resepsi.

“Memandangkan kami masih mencari dewan atau ‘ballroom’ hotel yang sesuai, tarikh akad nikah dan resepsi belum dapat diputuskan.

“Contohnya, jika tarikh akad nikah pada 20 April, ia disusuli dengan resepsi pada keesokan harinya iaitu 21 April,” katanya.

Berkongsi mengenai kisah cintanya, Dynas mengakui mengenali hati budi Shazrik sepanjang tempoh tiga tahun menjalin hubungan.

“Shazrik berjaya mengubah saya menjadi orang yang lebih baik. Dia juga seorang yang tegas dan sangat penyayang.

“Saya sudah belajar memasak dan kini lebih bersifat keibuan berbanding dulu.

“Shazrik juga menerima diri saya seadanya dan sebagai bakal isteri pasti saya ingin membahagiakannya,” kata Dynas.

Apa yang penting, kata pelakon filem Tombiruo ini, keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan mereka.

“Selain ahli keluarga, dua anak saya daripada perkahwinan terdahulu iaitu Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5, juga dapat menerima Shazrik dalam hidup mereka,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seni pula, selepas filem Tombiruo dan drama Mata Cinta, Dynas kini sibuk di lokasi penggambaran drama 70 episod, Syurga Yang Kedua yang bakal disiarkan di Astro tidak lama lagi.

Pada masa sama, tiga lagi filem lakonannya masih menanti tarikh tayangan adalah Bella & Jamie, Bukan Cinta Malaikat dan Badang.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 12:05pm
d