utama

Anak-anak syurga cikgu Duzaimah [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

“CIKGU janganlah takut. Cikgu kena ingat, kita kena bersyukur kerana ramai orang yang mendoakan dan memuji kita.

“Kawan-kawan yang mengutuk saya dulu ramai mesej kepada saya untuk minta maaf. Guru-guru lama saya pun ucap tahniah kepada saya lepas tengok video itu.”

Demikian pujukan empat pelajar cacat pendengaran kepada guru kesayangan mereka, Duzaimah Kamaruddin, 43.

Empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Batu Berendam di Melaka itu memujuk guru mereka selepas Duzaimah dihantui rasa bersalah selepas dua video pelajar itu memohon restu daripadanya tular di Facebook (FB) selepas dimuat naik pada 3 November lalu.

Manakan tidak, berpuluh video mengenai kod tangan (bahasa isyarat) dikongsi Duzaimah di akaun itu sejak sekian lama, tiba-tiba dua video berkenaan dikongsi sehingga lebih 10,000 kali dan ditonton lebih 1.5 juta kali.

"Saya tak buat (rakam) untuk tularkan kerana pada waktu itu secara kebetulan saya sedang merakam kod tangan untuk rujukan saya, tetapi mereka tiba-tiba datang.

"Saya kongsi di FB dan tanpa sengaja, perkongsian berkenaan saya tetapkan kepada umum sedangkan niat saya muat naik adalah hanya untuk kenangan saya saja.

"Bukan populariti yang saya cari ataupun menggunakan anak-anak istimewa saya (empat pelajar berkenaan) untuk dikenali. Saya sudah punya profesion sendiri," kata Duzaimah ketika dihubungi, hari ini.

Dua video masing-masing berdurasi tujuh minit 27 saat dan tujuh minit satu saat itu memaparkan empat calon istimewa cacat pendengaran sekolah itu bertemu Duzaimah.

Mereka adalah Anasfaidhy Sabri, 17, Muhamad Faiz Aziz, 19, Muhammad Haikal Asyraf Ibrahim, 19, dan Noor Hafizah Mohammad Hamzah, 20.

Video itu cukup menyentuh perasaan netizen apabila pelajar yang sudah dianggap Duzaimah sebagai anaknya sendiri itu meminta restu daripadanya.

“Anas minta maaf kalau ada buat salah. Tolong halalkan, maafkan,” kata Anasfaidhy.

Sementara Muhamad Faiz yang menggunakan bahasa isyarat berkata, di akhirat nanti, dia mahu menarik Duzaimah ke syurga bersama.

"Ramai orang tak faham, bagaimana kita nak mengatakan yang mereka ini bukan anak-anak syurga. Mereka kekurangan nikmat pendengaran, jadi tidak mendengar umpatan, mahupun memperkatakan perkara yang tidak baik mengenai orang lain.

"Mereka mempunyai budi pekerti yang sangat tinggi, tidak pernah melawan guru, tidak pernah kecilkan hati guru dan tidak pernah membuat muka dengan guru.

"Saat dia (Muhammad Faiz) mengatakan begitu, ia sangat menyentuh perasaan. Tak tahu nak cakap macam mana. Saya tak mahu tunjuk rasa sedih kerana mahu memotivasikan mereka," katanya yang juga ibu kepada tiga anak.

Duzaimah yang sudah mengajar pendidikan khas selama 18 tahun berkata, kasih sayang dan layanannya kepada anak-anak istimewa ini adalah sama seperti yang dilakukan guru-guru pendidikan khas yang lain.

"Kecemerlangan anak-anak ini saya tidak nilai dari segi akademik mereka. Kita sibuk nak kejar budak ini mesti dapat A, tetapi sebenarnya apa yang penting adalah keperibadian dan sahsiah mereka.

"Mereka takut gagal, tetapi saya tidak akan kecewa kerana tahu yang mereka sudah berusaha kerana tiap-tiap hari mereka akan datang berjumpa saya bertanyakan perkara yang mereka tidak tahu," katanya.

Biarpun peperiksaan SPM akan berakhir dan empat pelajar ini akan membawa haluan masing-masing, Duzaimah akan tetap memberi sokongan kepada mereka dan sedia membantu pada bila-bila masa yang diperlukan.

"Mereka beritahu saya, jasa cikgu saya tidak akan lupa sampai mati. Hubungan kita sampai kiamat. Saya macam tak sangka mereka berkata seperti itu dan saya anggap ini satu anugerah bagi saya

"Pada saya, kita semua tidak sempurna dengan tingkah laku kita. Mungkin (jasa) dengan anak-anak inilah yang akan menambah saham saya di akhirat kelak," katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 10:31pm
d