utama

Dadah bilik kebal

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Tidak ubah seperti ‘kubu tentera’ apabila sekumpulan pengedar dadah sengaja membina dua lapisan pintu besi tebal dengan setiap satunya dilengkapi jeriji besi dan dipasang sekurang-kurangnya empat pengunci mangga.

Malah, mereka yang dianggap tokan besar di Chow Kit di sini, turut memasang alat kawalan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Itu langkah berjaga-jaga dilakukan sekumpulan pengedar dadah di ‘markas kebal’ mereka di sebuah premis di tingkat dua dekat Jalan Chow Kit 1, di sini, bagi mengelak dikesan dan ditahan pihak berkuasa.

Difahamkan, suspek yang beroperasi di bilik kebal itu tidak pernah menonjolkan diri dan hanya akan melakukan proses jual beli melalui lubang khas pada pintu besi.

Agak menghairankan apabila ‘markas’ yang dikesan beroperasi sejak setahun lalu itu hanya berada kira-kira 150 meter dari Balai Polis Chow Kit di sini.

Timbul persoalan, adakah kegiatan mereka tidak dihidu pihak berkuasa atau sememangnya kumpulan pengedar ini kebal daripada tindakan undang-undang memandangkan rata-rata penagih yang ditahan di sekitar Chow Kit mengaku mereka mengambil bekalan daripada premis itu.

Wartawan yang mengikut operasi dijalankan Penguat Kuasa Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dang Wangi baru-baru ini, mendapati pihak berkuasa terpaksa bertungkus lumus sebelum berjaya masuk ke rumah berkenaan.

Sebelum serbuan dilakukan, beberapa penagih sudah ditahan dan mereka mengaku mengambil bekalan daripada pengedar terbabit.

Malah, mereka mendakwa, individu yang menjual hanya akan menyerahkan dadah melalui lubang dan tidak menonjolkan diri selain memaklumkan premis berkenaan memang sukar untuk ditembusi kerana dilengkapi pintu besi.

Berdasarkan maklumat itu, pasukan Penguat Kuasa AADK pergi ke premis berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Pegawai AADK Dang Wangi Mohamad Hanif Omar berkata, pihaknya yang hanya membawa alat pemotong biasa terpaksa menggunakan mesin canai untuk memotong pintu itu.

“Kami mengambil masa hampir 30 minit sebelum berjaya memotong kedua-dua pintu dan masuk ke dalam premis.

“Terdahulu kami terdengar bunyi seseorang mengunci pintu dari dalam namun suspek berjaya melarikan diri sebaik pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, rumah berkenaan mempunyai enam bilik dan dipercayai didiami beberapa lelaki berdasarkan penemuan pakaian yang masih baru digunakan selain keadaan beberapa barang elektrik yang masih terpasang.

“Kediaman itu dilengkapi sekurang-kurangnya enam CCTV dan ketika pemeriksaan dijalankan, kami menemui beberapa alat yang digunakan untuk menghisap dadah selain menemui tiga peket serbuk berwarna coklat disyaki heroin seberat 3.1 gram,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 6:46am
d