utama

'Saya harap dipermudahkan, dirahmati Allah'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DATUK Jalaluddin Hassan, 63, selamat melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya, Rapidah Abdul Ghani, 44, dengan sekali lafaz, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh abang sulung Rapidah iaitu Lokman Ghani dengan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussien Onn, Mohd Faisal Mohd Noor.

Jalaluddin menyerahkan mas kahwin RM300, wang hantaran RM12,000 berserta lima dulang dan dibalas tujuh dulang daripada pihak perempuan, pada majlis yang diadakan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn.

Rapidah yang juga ibu tunggal anak empat dan mempunyai enam cucu turut menerima kerusi urut bernilai RM20,000 daripada pihak lelaki.

Jalaluddin berkata, dia menerima tanggungjawab baru itu dan mengharapkan perkahwinan dibina kekal hingga ke jannah.

“Alhamdulillah, majlis dirancang lancar. Saya sebak sebab tanggungjawab sebagai suami bukan yang mudah. Jadi, saya berharap semoga perkahwinan ini dipermudahkan dan dirahmati Allah.

“Terima kasih kepada semua anak-anak dan saudara yang banyak membantu melancarkan lagi perjalanan majlis,” katanya kepada Harian Metro.

Majlis itu dihadiri lebih 100 tetamu daripada keluarga kedua-dua pihak serta rakan taulan.

Sebelum ini, pelakon itu mendedahkan akan berkahwin dengan ibu tunggal yang dikenali di Facebook selepas setahun kematian isteri, Allahuarham Hashimah Aksan akibat komplikasi jantung, pada 5 November tahun lalu.

Hasil perkahwinan dengan arwah Hashimah selama 40 tahun, mereka dikurniakan lapan anak dan 14 cucu.

Turut hadir pasa majlis itu, pelakon Ashraf Muslim yang juga anak saudara pengantin perempuan.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 12:50pm
d