utama

Nak undur, termasuk gear pandu

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

WANITA orang kurang upaya (OKU) berusia 32 tahun yang berada di dalam rumah terselamat selepas Honda CRV dipandu ibunya merempuh masuk rumah mereka di Jalan Bunga Cempaka, Taman Parit Jaya, Parit, 2.30 petang hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang lumpuh kedua belah kaki dan tangan itu sedang berehat di ruang tamu rumahnya sebelum ibunya berusia 64 tahun keluar untuk membetulkan kedudukan keretanya di ruang parkir rumah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati wanita warga emas itu dipercayai tersilap memasukkan gear kereta menyebabkannya merempuh rumah sendiri.

Katanya, wanita itu dipercayai ingin mengundurkan keretanya dari ruang parkir rumah dan tersilap memasukkan gear pandu sebelum kenderaannya itu terbabas ke hadapan dan melanggar rumahnya.

"Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan wanita berkenaan diminta untuk ke balai polis untuk membuat laporan selepas semua urusan di lokasi kejadian selesai.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit berkata, pihaknya turut dipanggil ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan wanita OKU berkenaan yang berada di dalam rumah.

"Kita menggunakan peralatan khas untuk memotong jeriji besi tingkap untuk mengeluarkan mangsa dan mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan sebelum operasi ditamatkan jam 3.25 petang," katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 7:00pm
d