utama

Semoga Nur Zulaikha ditemui selamat

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

BAKAL pengantin dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Geting, Tumpat, kira-kira 9 pagi, Jumaat lalu.

Nur Zulaikha Abdul Hamid, 20, sebelum itu dikatakan ke pasar di pekan Geting untuk mencari barang keperluan.

Kakak iparnya, Siti Nor Fazuani Abdullah, 27, berkata, gadis itu keluar bersama seorang rakan perempuannya, namun tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam ke pasar berkenaan.

"Dia keluar dengan kawan perempuan bernama Sarah Ibrahim berusia 17 tahun dan difahamkan, apabila tiba di pasar pagi itu, mereka berpecah.

"Sarah memberitahu Nur Zulaikha menyatakan mahu mencari baju dan mereka berjanji untuk berjumpa di satu tempat di pasar berkenaan selepas selesai membeli barang masing-masing.

"Ketika itu juga, Nur Zulaikha tidak membawa telefon bimbitnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, Sarah menunggu Nur Zulaikha di tempat dijanjikan selama dua jam sebelum dia pulang dan memaklumkan hal itu kepada mereka.

Katanya, mereka sekeluarga kemudian cuba mencari Nur Zulaikha dan menjejakinya di tempat biasa dikunjungi, namun tidak menemuinya.

"Kami bimbang keselamatannya apatah lagi dia keluar rumah sehelai sepinggang. Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pengkalan Kubor pada Sabtu lalu," katanya.

Siti Nor Fazuani berkata, adik iparnya itu bakal berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, hujung bulan ini dan sudah menyelesaikan semua urusan dokumentasi perkahwinan termasuk melakukan ujian HIV pada Khamis lalu.

Katanya, gadis itu juga baru sebulan menetap di kampung selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Melaka demi menguruskan hal perkahwinannya.

"Jika diikutkan, pada petang Jumaat (hari kehilangan), dia sepatutnya bersama keluarga kami ke Rantau Panjang untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinannya.

"Malangnya kejadian ini pula berlaku dan kami berharap tiada perkara buruk yang terjadi," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi keluarga Nur Zulaikha di talian 019-7261719.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 3:04pm
d