utama

Wow!!!

Oleh Asrizal Aris

 

"BUKAN kepingin riak, tapi buktikan orang tinggal di wilayah desa juga boleh punya sepeda motor mewah," kata Eko Margono, 40, individu yang tular selepas membeli tunai motosikal Kawasaki Ninja 250 cc dengan sebahagian besar daripadanya menggunakan syiling di Ponorogo, Indonesia.

Eko berkata, dia menyimpan syiling itu bersama isterinya Erna Wati, 35, sejak dua tahun lalu dan memasang impian untuk membelikan motosikal buat anaknya, Muhammad Pradita Candra Amarta berusia 15 tahun.

Katanya yang bekerja sebagai penjual daging, dia terpaksa bekerja sambilan di bengkel motosikal di sebelah petang, sementara isterinya berniaga kecil-kecilan menjual kuih.

"Setiap kerja kami lakukan mesti dibayar dengan syiling, termasuk menjual daging. Jika pelanggan memberi duit kertas, kami minta mereka menukarkan kepada duit syiling terlebih dahulu di kedai lain.

"Saya memilih menabung syiling kerana lebih mudah dan berdisiplin, jika wang kertas pasti mahu digunakan," katanya ketika dihubungi di bengkel tempatnya bekerja di Ponorogo, hari ini.

Menurut Eko, pada tahun pertama dia dan isterinya berjaya memenuhkan duit syiling dalam tabung buatan sendiri yang diperbuat daripada tong air 50 liter sebelum menabung dalam tong cat yang mencecah 25 kilogram selepas syiling penuh.

Katanya yang tinggal di desa di Kabupaten Magetan, hasrat untuk membeli motosikal itu tercetus apabila anaknya merayu membelikan motosikal sebagai pengangkutan ke sekolah.

"Anak saya hanya meminta membelikan motosikal berwarna hitam namun saya dan isteri mahu memberi kejutan kepadanya dengan membelikan motor idamannya biarpun perlu menunggu beberapa tahun.

"Bagaimanapun pelbagai cabaran dihadapi sebelum kami dapat membeli motosikal mewah itu kerana banyak pihak tidak mahu menerima syiling untuk ditukarkan kepada kertas," katanya.

Menurutnya, bank di bandar Magetan hanya setuju untuk menukarkan syiling itu setakat 500,000 rupiah sahaja sedangkan duit syilingnya melebihi 40 juta rupiah.

"Saya mencuba nasib dengan pergi ke syarikat urusan Kawasaki di Ponorogo dan bagaikan tidak percaya apabila pengurus di situ bersetuju menerima syiling untuk membeli motosikal Kawasaki Ninja 250 cc berharga 62 juta rupiah (RM19,174.58).

"Saya dan isteri mengambil masa seminggu untuk mengasingkan syiling dan memasukkan ke dalam plastik sebelum datang semula ke syarikat Kawasaki itu.

"Selepas menghitung syiling dengan berat kira-kira 100 kilogram itu, semuanya berjumlah 42 juta rupiah (RM12,989.24) dan saya menambah 20 juta rupiah (RM6,185.35) lagi untuk membeli motosikal itu secara tunai," katanya.

Menurutnya, dia memuji keprihatinan pengurus syarikat motosikal berkenaan kerana memberi layanan baik biarpun kepada orang miskin dan menganggap semua pelanggannya adalah raja.

Katanya, anaknya sangat gembira selepas menerima motosikal mewah itu namun hanya boleh ditunggang ke sekolah pada tahun depan ketika anaknya memasuki Sekolah Menengah Atas (SMA) tahun pertama. 

Eko berkata, perbuatannya itu bukan untuk menunjuk-nunjuk atau membazir sebaliknya membuktikan dengan berkat sabar serta usaha yang gigih, orang kampung juga mampu memiliki kenderaan mewah.

Gambar Eko dan Erna membeli motosikal itu tular di laman sosial Indonesia dan Malaysia sejak Jumaat lalu dan menerima pelbagai reaksi netizen.

 

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 10:30pm
d