utama

Ada tarikan tersendiri

Oleh Najiy Jefri

Memiliki personaliti dan penampilan menarik menjadi impian setiap orang baik lelaki mahupun wanita.

Apatah lagi tuntutan kerjaya yang memerlukannya sentiasa kemas bergaya setiap hari.

Jadi tidak hairanlah pelakon kacak, Aqasha masih bertahan dan menjadi dambaan ramai wanita apabila dikatakan mampu mencairkan hati mereka.

Apa tidaknya, selepas namanya diumumkan sebagai peserta program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4), ada yang melihat jejaka berusia 35 tahun ini memiliki tarikan tersendiri terutama dalam kalangan peminat wanita dek wajahnya.

Malah, ramai yang ternanti-nanti kelibat pelakon utama filem Embun itu beraksi semula dalam arena seni suara.

Bagaimanapun, bagi pemilik nama sebenar Firdee Akassya Rosli ini, dia tidak menganggap paras rupa pengukur utama menjadikan dia terus kekal dalam industri seni tanah air.

“Kalau ada yang mengatakan saya mempunyai pakej dan boleh menjual rupa, semua orang dikurniakan paras rupa yang kacak dan jelita.

“Saya anggap setiap gelaran yang diberikan peminat sebagai satu pujian sajalah. Apa yang penting, untuk menjadi seorang artis ialah bakat dan disiplin. Pada saya, rupa dan bentuk fizikal hanyalah bersifat sementara.

“Saya kelihatan begini pada waktu ini, jika dalam tempoh 10 tahun akan datang, mungkin bukan macam ini lagi. Ketika itu mungkin penampilan saya tidak sama. Adakah peminat pun nanti akan terus berkurangan juga?,” katanya.

Menurut Aqasha, walaupun kehadirannya dalam program realiti terbabit menjadi perhatian ramai, dia tidak pernah melihat paras rupa dimiliki sebagai tiket mudah untuk terus bertahan sebaliknya perlu berusaha keras dalam setiap persembahan.

Namun, dia tidak menafikan rupa menjadi daya penarik bagi artis. Dek tarikan fizikal yang dimiliki membolehkan seseorang artis menerima sokongan peminat.

“Hampir 17 tahun saya berada dalam industri hiburan. Apa yang saya lihat, saya antara artis yang kurang menonjol dalam media. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini masih ada yang setia mengikuti perkembangan saya.

“Lagipun, saya seorang yang kurang gemar untuk muncul di media cetak atau elektronik jika tidak mewakili sesuatu kerja. Saya lebih selesa bercerita mengenai perkara boleh dibanggakan untuk dikongsikan dengan peminat yang selama ini memberi sokongan,” katanya.

Mahu tarik peminat generasi muda

Selepas hampir empat tahun tidak beraksi di kaca TV, kini Aqasha mempertaruhkan dirinya dalam pentas yang diadili sepenuhnya juri profesional.

Aqasha berkata, walaupun bidang nyanyian bukan sesuatu yang asing, dia mengakui perasaan gemuruh tidak pernah padam.

“Tipulah kalau saya katakan tidak gementar, tapi saya rasakan ia perlu ada dalam setiap penyanyi supaya tidak kelihatan terlalu yakin. Namun gementar itu perlu diseimbangkan supaya persembahan yang diberikan dapat memberi kepuasan kepada setiap pendengar.

Ditanya mengenai kebimbangan utamanya untuk bersama-sama berkongsi pentas dengan penyanyi lain, Aqasha berkata, dia lebih melihat situasi itu sebagai satu cabaran buatnya.

“Sebelum ini, saya sudah buat teater muzikal dan berlakon, jadi ini adalah satu ruang untuk menguji diri mengenai bakat yang ada. Di sinilah untuk kita lihat sejauh mana bakat kita ada.

“Lagipun, inilah masanya untuk saya tarik peminat dalam kalangan generasi muda kini untuk kenal diri saya. Ini kerana saya melihat program sebegini boleh membuatkan artis terus kekal relevan,” katanya.

Tiada masalah dengan Rita Rudaini

Aqasha turut ditanya mengenai kontroversi hubungan istimewanya dengan pelakon jelita Rita Rudaini yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Isu terbabit tercetus selepas dakwaan dibuat isteri Aqasha, Noor Baizura Mohd Sabri kononnya Rita cuba menganggu rumah tangga dia dan suami.

Aqasha yang menganggap Rita sebagai kawan baiknya tiada masalah jika dia diperlukan untuk bekerjasama atau perlu melakukan promosi drama terbaru lakonan mereka berjudul Misi Laksa dan Laksam yang kini ditayangkan di TV3.

“Saya tidak boleh elak jika diperlukan untuk melakukan promosi drama ini. Sebagai pelakon apabila dipanggil untuk bekerjasama saya okey saja.

“Lagipun, saya tiada masalah bekerjasama dengan Rita. Saya profesional dan setiap yang dilakukan adalah demi kerjaya,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 4:02am
d