utama

Pemandu lori pembida tertinggi lelongan JPJ

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PEMANDU lori muncul pembida tertinggi apabila berjaya membida 20 unit kenderaan dengan nilai keseluruhan RM28,850 dalam lelongan awam di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

Mohd Othman Palal, 43, yang juga anak peneroka Felda Keratong 1, Pahang, membida 17 motosikal dan masing-masing sebuah kereta, van serta lori lima tan.

"Hanya tiga kenderaan untuk kegunaan sendiri manakala 17 lagi kenderaan saya bida untuk rakan yang sudah menempahnya.

"Sebelum saya datang ke sini, saya meminta rakan menyenaraikan kenderaan yang mereka mahu dengan anggaran bajet dikehendaki," katanya ketika ditemui selepas majlis lelongan itu, hari ini.

Menurutnya, dia ditemani isteri dan seorang rakan sanggup menempuh perjalanan sejauh 120 kilometer dengan menaiki sebuah lori untuk menghadiri majlis itu kerana mengetahui harganya lebih rendah berbanding harga pasaran.

Katanya, dia mula mengikuti lelongan awam sejak 2003 secara sendirian dan kenderaan yang dibida itu dijual semula kepada rakan.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan berkata, sebanyak 60 kenderaan iaitu 55 motosikal, dua kereta, dua lori lima tan dan sebuah van dilelong pada majlis berkenaan.

Menurutnya, semua kenderaan itu disita sejak 2007 dan sudah dilucutkan hak melalui perintah mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti tiada cukai jalan dan mengubahsuai enjin serta nombor casis.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 6:05pm
d