utama

Pencuri dah 'glamor', tak tun tuang...

Oleh Asrizal Aris

 

BALASAN segera untuk seorang pencuri apabila telefon bimbitnya tertinggal di tepi kereta yang dipecah, malah kini ‘glamor’ apabila wajahnya tular dan lebih daripada itu menjadi ‘bahan’ dalam kalangan netizen selepas mangsa memuat naik status di dalam Facebook pencuri itu.

Status 'Hi kawan2 dan sesiapa yang mengenali saya.tak lama lagi saya nak meringkuk dalam penjara.biasa lah hidup sbg seorang penyamun..kadang makan besar,kadang2 makan tak abis' pastinya benar-benar membuatkan pencuri itu kini bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’

Mangsa, Shahrizan Yusti, 32, berkata, pada hari kejadian dia keluar memancing dengan rakannya manakala isterinya keluar bersiar-siar bersama keluarga dan tiada sesiapa di rumahnya.

Katanya yang juga kontraktor, dia menyedari pacuan empat rodanya dipecah apabila isterinya pulang pada 10 malam dan bapa mentuanya terjumpa telefon bimbit di tepi kenderaan itu.

"Ketika itu saya dalam perjalanan pulang. Bapa mentua menghubungi saya dan memberitahu telefon pekerja saya tertinggal, tetapi saya rasakan ia bukan milik pekerja lalu meminta bapa mentua untuk melihat peralatan kerja di dalam kereta.

"Selepas dimaklumkan tiada, saya menjangkakan semua barang itu dicuri dan telefon itu milik pencuri itu. Apabila mendapat tahu telefon itu jenis iPhone, saya membeli pengecas telefon jenis itu kerana dimaklumkan kehabisan bateri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Shahrizan, apabila tiba di rumah dia mengecas telefon bimbit berkenaan lalu mencuba membuka nombor pin laluan telefon pintar itu sebanyak tiga kali sebelum berjaya mengetahui pemilik telefon terbabit.

“Saya hanya mencuba nombor pin empat digit asas yang sering digunakan orang ramai. Cubaan pertama adalah 1234 seterusnya 1111 namun kedua-duanya tidak berjaya.

“Dengan lafaz Bismillah, cubaan ketiga saya dengan nombor 0000 akhirnya berjaya,” katanya.

Menurutnya, selepas melihat gambar dan video dalam telefon itu, Shahrizan mengenali pencuri terbabit serta rakan-rakannya yang juga penagih dadah di kawasan taman perumahannya.

“Mereka (suspek) memang dikehendaki oleh komuniti taman perumahan saya kerana disyaki terbabit dalam kes curi sebelum ini.

"Petunjuk lebih kuat apabila membaca perbincangan mereka dalam aplikasi WhatsApp. Apabila tahu telefon itu milik pencuri itu, saya menukar kata laluan Facebooknya dan menaikkan status sebelum ia tular," katanya.

Menurutnya, kini Facebook pencuri itu di bawah kawalannya dan akan memadam status berkenaan serta menyerahkan semula akaun Facebook itu kepada yang berhak selepas pencuri terbabit ditangkap.

"Saya sudah membuat laporan polis serta serahkan telefon pencuri itu untuk siasatan. Adiknya juga tampil berjumpa dengan saya dan mahu bekerjasama untuk mengesannya.

“Bagaimanapun, pencuri itu masih menghilangkan diri dan tidak pulang ke rumah selepas saya membuat laporan polis pada Ahad,” katanya.

Menurutnya, tindakannya memuat naik status di akaun Facebook pencuri itu bukan bertujuan mahu memalukan sebaliknya memberi saranan supaya berhati-hati kepada masyarakat setempat.

“Tindakan saya ini juga adalah untuk memberi pengajaran kepada pencuri itu dan rakan-rakannya, tiada niat untuk mengaibkan sesiapa. 

"Saya juga tidak sangka ia boleh menjadi tular sehingga tahap ini. Mungkin kejadian ini jarang berlaku dan menarik perhatian umum untuk dikongsikan," katanya.

Menurutnya, selepas meneliti perbualan pencuri itu dan rakan dalam telefon itu, dia berjaya menjejaki beberapa barangnya yang hilang di sebuah kedai yang disyaki membeli barang dijual oleh pencuri terbabit.

"Kerugian yang saya alami dianggarkan RM2,000 dan barang yang hilang adalah barangan kerja tukangan yang digunakan oleh pekerja-pekerja saya.

"Saya cuma harapkan pencuri itu tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa dan saya tidak menyimpan dendam malah sedia memaafkannya," katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Gelang Patah mengesahkan laporan dibuat oleh mangsa dan kes masih dalam siasatan.

 

Keterangan Gambar

Pix : Status dan gambar yang tular di laman sosial.

tamat

 

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 11:12pm
d