utama

Majlis apa, nikah ke?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

ADA khemah dengan hiasan seperti majlis kahwin, keluarga pihak lelaki dan perempuan hadir, malah rakan baik dan pengurus juga hadir sekali gus menimbulkan tanda tanya majlis apakah yang berlangsung di kediaman dipercayai kediaman nenek pelakon dan penyanyi, Fazura di Petaling Jaya, malam semalam.

Seawal 8 malam wartawan Harian Metro berada di situ selepas dimaklumkan oleh sumber bahawa Fazura dan Fattah Amin dikatakan akan bernikah.

Bagaimanapun, menyedari kehadiran wartawan, adik serta pembantu peribadi Fazura mengawal ketat laluan masuk ke kediaman itu, malah menutup pintu pagar.

Setiap kereta yang lalu ditahan sebelum dibenarkan masuk. Berkemungkinan ia bagi memastikan tetamu yang hadir berada dalam senarai jemputan.

Harian Metro juga sempat menghubungi pembantu pereka fesyen Rizman Ruzaini yang hadir ke majlis itu, bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut.

“Kenduri kesyukuran kot? Saya tak boleh nak berikan sebarang jawapan dan komen lebih lanjut,” katanya.

Sementara itu, pengurus Fattah Amin, Sakirin Shak atau dikenali sebagai Acha enggan mengulas lanjut mengenai berita khabarnya pelakon itu bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Fazura pada malam tadi.

"Nantikan saja sekiranya ada pengumuman dan kenyataan rasmi daripada pihak Fattah," katanya.

Acha sebaliknya memaklumkan bahawa dia dan Fattah sedang melakukan persiapan untuk terbang ke Tanah Suci yang dijadual berlepas pagi ini.

"Sejak semalam, saya menerima beratus panggilan telefon mengenai hal ini. Sekarang, kami sedang berkemas barang keperluan untuk mengerjakan umrah," katanya.

Acha yang pada awalnya menafikan tidak ada sebarang majlis berlangsung bagaimanapun muncul dengan mengenakan jubah putih.

Tidak hanya itu, hasil tinjauan mendapati khemah yang didirikan di perkarangan rumah terbabit dihiasi dengan dekorasi seperti sebuah majlis perkahwinan.

Kawalan ketat juga diletakkan di jalan masuk ke kawasan perumahan terbabit.

Terdahulu pasangan ini dikhabarkan bakal bertunang pada 13 November lalu namun masing-masing mengunci mulut dan saling berteka-teki mengenai perkara itu.

Pasangan itu hanya memohon peminat untuk mendoakan yang baik-baik, malah Fazura dalam kenyataannya menerusi akhbar ini berjanji untuk berkongsi berita gembira mengenai perkahwinannya dengan pelakon itu.

Hubungan rapat antara Fazura dan Fattah mula terjalin sejak berganding bersama dalam drama berjudul Hero Seorang Cinderella. Rentetan dari keserasian menerusi rantaian itu, ramai peminat yang berharap mereka bercinta.

Menguatkan lagi spekulasiFazura menghadiahlan sekotak besar coklat, 50 kuntum bunga ros merah serta kad ucapan berbentuk hati sempena ulang tahun kelahiran ke-27 Fattah pada September lalu.

Kemudian, Fattah membalas 500 kuntuman bunga mawar pada hari kelahiran Fazura yang ke-34 juga pada September lalu.

Sumber Harian Metro memaklumkan Fattah dan Fazura sudah bertunang semalam di lokasi sama.

Mengikut perancangan, Fattah dan Fazura dikhabarkan bakal bernikah di hotel di Makkah iaitu dalam tempoh mereka mengerjakan umrah.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 12:49am
d