utama

Ayda luah rasa kecewa

Oleh Norhayati Nordin

Kegagalan lagu Mata nyanyian Ayda Jebat layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL) mengundang rasa kecewa penyanyi itu dan peminatnya.

Ayda meluahkan perasaan itu ketika membalas komen peminatnya di Instagram, kelmarin yang turut kecewa apabila lagu berkenaan tersingkir pada saingan minggu ketiga separuh akhir Muzik Muzik 32, Ahad lalu.

Dalam komennya itu, Ayda turut menuntut penjelasan apakah kriteria sebenar pilihan juri terhadap sesuatu lagu untuk layak ke AJL sebagai panduan memperbaiki kelemahan lagunya pada masa akan datang.

Ayda ketika dihubungi berkata, dia memang kecewa kerana ini kali ketiga dia mencuba nasib mempertaruhkan lagunya untuk berentap di pentas AJL.

“Isu ini sebenarnya tidak perlu diperbesarkan. Saya sekadar meluahkan perasaan kecewa termasuk ingin tahu kriteria pemilihan sesuatu lagu itu untuk melayakkannya bertanding di AJL.

“Sebagai penyanyi, saya hanya ingin tahu adakah lagu tidak layak disebabkan melodi tidak kuat atau penulisan lirik yang lemah. Jika betul, saya boleh perbaiki kelemahan itu pada masa akan datang,” katanya.

Ayda berkata, dia tidak berniat mempertikaikan keputusan juri, cuma inginkan penjelasan.

Dia juga akur semua 12 lagu yang dipilih untuk berentap di AJL itu adalah karya muzik terbaik.

Ayda berkata, dia sangat komited dengan kerjaya nyanyiannya termasuk gigih memperbaiki setiap kelemahan dalam karya muziknya.

Sementara itu, ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail ketika dihubungi berkata, Mata tidak dipilih kerana melodi dan hala tuju lagu ciptaan Audi Mok, Shazee Ishak dan Ayda itu tidak begitu kuat.

“Saya bersama lima lagi juri profesional lain mencapai kata sepakat tidak memilih lagu itu kerana kekuatan melodi yang belum layak untuk dipertandingkan di AJL.

“Kami tidak menganggap Mata tak bagus, cuma kekuatan melodinya saja tidak kuat seperti 12 lagu yang dipilih daripada pelbagai genre muzik,” katanya.

Mokhzani berkata, penilaian dibuat merangkumi 40 peratus melodi, 20 peratus lirik, 20 peratus penerimaan khalayak dan pendengar manakala 20 peratus lagi menerusi persembahan.

Ditanya apakah genre muzik baru seperti EDM yang diketengahkan Ayda masih memerlukan masa untuk diterima industri muzik tempatan, Mokhzani menolak dakwaan itu.

“Saya tahu lagu itu popular dalam kalangan peminat Ayda dan pendengar muzik tanah air. Bagaimanapun, ia masih tidak kuat untuk dipertandingkan di AJL.

“Kemunculam genre muzik EDM juga pada saya satu perkembangan baru dalam industri muzik tanah air dan ia diterima baik peminat,” katanya.

Mokhzani berkata, sesuatu lagu itu layak bertanding di pentas AJL berdasarkan kekuatan melodi lagu termasuk hala tujunya.

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 32 Nurul Huda Khalid berkata, semua keputusan pemilihan lagu yang layak ke AJL32 dibuat 100 peratus juri profesional yang diketuai Mokhzani.

“Tidak ada campur tangan langsung daripada kami di bahagian penerbitan.

“Ia 100 peratus telus daripada juri profesional dan turut diaudit juruaudit dalaman TV3,” katanya.

Nurul Huda berkata, dia dan pihak produksi hanya mengendalikan penerbitan program dan urusan persembahan.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 4:21am
d